Berita Utama

Sagu hati jemaah umrah terkesan dibayar 18 Februari ini

Sebanyak RM1,671 dikreditkan melalui akaun simpanan TH jemaah

BANGI, 11 Rejab 1443H, Ahad – Pembayaran sagu hati kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan perjalanan ke Tanah Suci akibat penularan varian Omicron pada 8 Januari lalu, akan dikreditkan pada 18 Februari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pembayaran sagu hati sebanyak RM1,671 hanya akan dikreditkan menggunakan akaun simpanan Tabung Haji para jemaah bagi memudahkan urusan.

Katanya, perkara itu dipersetujui berdasarkan mesyuarat terkini yang telah diadakan di antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan serta Lembaga Tabung Haji (TH).

“Untuk makluman semua, MOTAC telah menyerahkan senarai nama sebanyak 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati kepada TH.

“Daripada jumlah tersebut, pihak TH mendapati seramai hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Idris menggesa semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH untuk membuka akaun sebelum 18 Februari 2022.

“Para jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH yang terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik.

“Bagi mereka yang mempunyai kesukaran untuk mendaftar secara atas talian, boleh terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran dan dibantu sebaiknya oleh semua kakitangan di cawangan-cawangan TH,” katanya.

Beliau berkata, para jemaah umrah yang terkesan akan dilayan serta-merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama.

“Saya juga telah memaklumkan kepada pihak TH supaya segala tuntutan pembayaran ini akan dipermudahkan semaksimanya supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan ini.

“Semoga semua urusan para penerima dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan keputusan penangguhan sementara perjalanan umrah berkuat kuasa 8 Januari, bagi mengurangkan risiko penularan varian Omicron dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button