Berita Utama

SJKC di KL ambil guru ganti tanpa permohonan dari KPM

Guru besar, sebahagian guru tak ikut jumlah masa mengajar ditetapkan

BANGI, 12 Rejab 1443H, Isnin – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengingatkan semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) supaya membuat permohonan sebelum mengambil guru ganti.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam kenyataan di Facebooknya semalam, yang turut memuat naik surat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada semua guru besar SJKC bertarikh 15 Disember 2021.

Menerusi surat yang dikongsikan itu menyebut Mesyuarat Pengurusan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bil 11/2021 pada 30 November 2021 telah memutuskan supaya pihak pentadbir mematuhi pengurusan pengambilan guru ganti di sekolah.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur meminta pihak sekolah untuk akur terhadap beberapa perkara termasuk tidak mengambil guru ganti bagi menjalankan PdPC dan PdPR Guru Besar serta Guru Penolong Kanan.

Selain itu, guru besar adalah pemimpin insfruksional dan wajib mengajar mengikut jumlah masa yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil 11/2007 serta Guru Penolong Kanan wajib mengajar mengikut jumlah masa yang ditetapkan dalam Pekeliling Pentadbiran Bil 3/67 pindaan 1982.

Menurut surat itu, guru ganti hanya dibenarkan untuk menggantikan kekosongan guru akademik dan semua guru ganti yang dibayar oleh PIBG perlu mendapat kebenaran daripada pendaftar.

Hang Soon berkata, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur mengeluarkan arahan khas itu susulan aduan diterima Kementerian Pendidikan (KPM) dari Guru Penolong Kanan sebuah SJKC di Kuala Lumpur tahun lalu.

Katanya, aduan itu mendakwa Guru Besar, Penolong Kanan dan sebahagian guru di SJKC tidak mengikut jumlah masa mengajar yang mencukupi seperti digariskan dalam jadual waktu sekolah berdasarkan arahan surat pekeliling dari Jabatan Pendidikan, sehingga Lembaga Pengurus Sekolah terpaksa menggaji guru ganti untuk mengajar.

Hang Soon berkata, KPM kemudiannya melantik pegawai untuk menyiasat serta mendapati bahawa dakwaan itu benar, dan telah mengambil tindakan terhadap SJKC terbabit.

“Susulan itu, Kementerian Pendidikan telah menjalankan tinjauan ke atas beberapa buah SJKC dan mendapati Lembaga Pengurus Sekolah atau PIBG SJKC-SJKC terbabit turut menggaji guru ganti atau guru sementara untuk mengajar di dalam kelas tanpa membuat permohonan atau tanpa menunggu kelulusan dari Kementerian Pendidikan.

“Dalam kes ini, jika guru ganti berkenaan mengalami kemalangan di sekolah atau menghadapi masalah dengan murid semasa sesi pengajaran berlangsung, Kementerian Pendidikan akan dipersalahkan dengan tuduhan penyeliaan yang lemah,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah dan kementerian juga mungkin boleh dikenakan tindakan undang-undang, maka KPM perlu mencegah perkara itu daripada berlaku.

Justeru, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur telah mengeluarkan surat rasmi pada 15 Disember tahun lalu untuk mengingatkan guru besar supaya membuat permohonan sebelum mengambil guru ganti dan guru sementara yang digaji oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau Lembaga Pengurus Sekolah.

“SJKC adalah sebahagian daripada sistem pendidikan negara dan dijamin di bawah Perlembagaan negara.

“Oleh itu, semua operasi mesti dijalankan dalam skop yang mematuhi Akta Pendidikan agar kestabilan dan keselamatan SJKC terus terpelihara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button