Berita Utama

2 beradik maut makan sisa makanan dari tong sampah

Polis klasifikasikan kes sebagai mati mengejut

ALOR SETAR, 12 Rejab 1443H, Isnin – Dua beradik warga Myanmar maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata, polis menerima laporan berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, kira-kira 6.15 petang.

“Siasatan awal mendapati, pada 5.30 petang bapa mangsa yang berumur 36 tahun ternampak dua anaknya berada di kawasan tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum mengangkat kedua-dua mangsa ke rumah jiran berdekatan.

“Bapa mangsa mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan selang beberapa minit kemudian anaknya sudah tidak bernafas,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Shariman berkata, ketika kejadian bapa mangsa keluar bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung.

“Mereka tidak mempunyai rumah dan hanya menumpang di rumah jiran di kampung tersebut,” katanya.

Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button