Kolumnis

Berdosakah ‘Tok Lebai’ bertemu Taliban?

Sedih! Pemimpin PAN sibuk pertikai kalahkan ultra kiasu bukan Islam

SEBAHAGIAN artikel ini telah diterbitkan dalam Facebook saya minggu lalu. Sejurus disiarkan terus disekat oleh admin Facebook. Facebook saya digantung selama sebulan. Hairan bukan! Sebut sahaja Taliban, terus dikatakan artikel melanggar standard komuniti.

Ramai ultra kiasu di luar sana, yang menulis dan memberi komen yang sangat ekstrem dan tidak munasabah, tetapi tidak pernah disekat oleh Facebook. Namun, bila tiba giliran saya menulis atas nama hak berkaitan Taliban, terus disekat. Ini bukan kali pertama, tetapi sudah banyak kali.

Mana lebih bahaya antara ekstremis Hindu LTTE dan Buddha di Myanmar? 

Di India dan China, berapa ramai umat Islam dibunuh sehingga ke hari ini? Kenapa diam?

Apabila Taliban memerintah Afghanistan, saya belum dengar lagi mereka menganiaya orang bukan Islam? Berbanding orang bukan Islam membunuh dan menganiayai orang Islam?

Bukan main lagi, media ultra kiasu mempropagandakan pertemuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang @ Tok Lebai dengan pemimpin Taliban di Doha.

Ketika pemimpin Hindu Malaysia boleh bertemu dengan pemimpin Hindu LTTE, rakan sepakatan ultra kiasu beragama Islam senyap sepi, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Jika berbeza latar belakang dan parti politik pun, jangan mangsakan dan libatkan mereka yang tidak berdosa. 

Saya cukup hairan, kenapa dan mengapa apabila Tok Lebai Hadi bertemu pemimpin Taliban, bukan di Afghanistan pun, tetapi di Doha, sibuk disensasikan dan dikecam? 

Paling menyedihkan, apabila pemimpin dalam kalangan umat Islam terutama PAN, sibuk mempertikaikan pertemuan Hadi Awang dengan Taliban, mengalahkan pemimpin ultra kiasu bukan Islam lagi. Kata ultra kiasu ini, Hadi mendahului pendirian kerajaan.

Sejak bila Hadi mendahului kerajaan?

Jika Tok Lebai Hadi mendahului kerajaan pun atas nama nama parti atau peribadi, itu pun dikira tidak salah.

PAS pula tidak perlu berasa bersalah apabila berita ini menjadi sensasi. Tidak perlu mengeluarkan kenyataan, bertemu tidak semestinya mengiktiraf?

Tidak salah jika pun mengiktiraf? Afghanistan adalah sebuah negara bangsa. Jika itulah pilihan rakyatnya, tidak ada apa yang salah dengan negara ini. Lagi pun negara ini sedang berhadapan antara hidup dengan mati.

Pendirian Malaysia terhadap Afghanistan bukan baharu, apakah kita sudah lupa, sebagai sebuah negara Islam, Malaysia awal-awal lagi sudah mengatakan pendiriannya. Afghanistan pimpinan Taliban perlu diberikan peluang. 

Bantuan perlu diberikan kepada rakyat Afghanistan, tidak kira dipimpin oleh siapa. 

Boleh dikatakan inilah juga pendirian pemimpin dunia Islam untuk membantu kerajaan Afghanistan bukan baharu, tetapi sudah lama. Justeru, tidak timbul soal Hadi mendahului kerajaan. 

Lagi pun, salahkah dan berdosakah bertemu dengan pemimpin Taliban? Bukankah kita saudara seagama? Bertemu bertanya khabar pun tidak bolehkah?

Terus terang, kami bersama saudara seIslam Afghanistan di sini, sedang dalam proses menubuhkan NGO untuk membantu Afghanistan. NGO itu kami namakan Afghan Relief Malaysia (ARM). Kami sedang menunggu kelulusan pendaftaran NGO tersebut daripada Pejabat Pertubuhan.

Sekiranya, NGO diluluskan, kami akan bergerak dan tidak teragak=agak untuk membantu saudara sesama Muslim di sana. Tidak kira apa orang lain kata. Paling penting kami mahu membantu saudara kami seagama. 

Apa salah Taliban sehingga kita mengeluarkan kenyataan yang langsung tidak mencerminkan diri kita sebagai saudara seagama? Tidak kira siapa yang memerintah di Afghanistan, paling penting bantuan mesti segera dilakukan atas nama persaudaraan. 

Ketepikanlah latar belakang dan kepentingan politik dalam memperkatakan serta memperjuangkan saudara seagama. 

Jika orang lain boleh bertemu dan membantu ekstremis Buddha dan Hindu, membunuh orang Islam, kenapa kita teragak-agak untuk membantu Taliban, sedangkan Taliban tidak pula kedengaran membunuh orang bukan Islam, kecuali bukan Islam merancang untuk memusnahkan Taliban.

Apakah kita tidak pernah tersentuh berapa ramai saudara seagama di Afghanistan yang mati, menderita, kebuluran dan sengsara di sana. Lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang begitu menyulitkan mereka?

Ingatan saya kepada semua pemimpin, terutama pimpinan parti politik orang Islam, lupakanlah perbezaan politik dalam soal hal ehwal, terutama berkaitan umat Islam. 

Bantuan Islam merentasi bangsa dan agama. Negara Islam tidak terlepas dalam membantu negara Islam yang memerlukan.

Namun, sekiranya berlaku pertembungan antara keduanya, maka keutamaan harus diberikan kepada mereka yang memerlukan, terutama yang seagama, meskipun tidak sebangsa. 

Apakah kita tidak berasa malu negara bukan Islam seperti China bertindak ke depan mengadakan rundingan diplomasi peringkat tertinggi antara Menteri Luar, Wang Yi dengan Naib Ketua Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar?

Untuk makluman, China menyalurkan dana berbilion ringgit untuk mengukuh ‘Belt and Road Initiative’ (BRI) di Afghanistan. Jika ada kepentingan politik sekalipun, sekurang-kurang mereka, bukan Islam masih ada hati. 

Di manakah hati kita sebagai umat Islam?

Jika China Komunis boleh menghulurkan tangan kepada Afghanistan di bawah Taliban, mengapa tidak kita sebagai saudara se-Islam?

Ingatan saya, konflik berterusan di negara Islam itu adalah permainan kuasa besar demi survival ekonomi dan politik mereka.

Kita tidak menafikan bahawa ada kelemahan dalam pemerintah Taliban, namun tidak boleh kita bezakan antara Taliban dan rakyat Afghanistan? Jangan mangsakan saudara seagama hanya kerana Taliban. Jika ditakdirkan Afghanistan diperintah oleh kumpulan lain selain Taliban, apakah pula sikap kita selepas itu? 

Jangan terperangkap dengan permainan musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam, dengan melaga-lagakan sesama umat (negara) Islam.

Kepada Tok Lebai, bertemu tidak semesti mengiktiraf. Bertemu juga boleh menjadi mengiktiraf. Tidak salah bertemu dan tidak salah mengiktiraf. Bukankah kita ini semua bersaudara?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 10)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seorang dari kamu sehingga dia menyukai bagi saudaranya apa yang dia sukai untuk dirinya”. (HR Imam al-Bukhari)

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button