Berita Utama

COVID-19: Pesakit di ICU meningkat hampir 200 kes

115 perlu alat bantuan pernafasan berbanding 109 semalam

PUTRAJAYA, 12 Rejab 1443H, Isnin – Malaysia mencatatkan peningkatan kluster aktif COVID-19 dengan jumlah terkini sebanyak 435 kluster berbanding 421 kluster, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster COVID-19 baharu pula terus merekodkan peningkatan kepada 17 kluster berbanding 10 kluster sebelum ini sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,613 kluster.

“Jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,178 kluster berbanding semalam, 6,175 kluster,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merekodkan peningkatan 199 kes berbanding 187 kes semalam.

Malah, jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan iaitu 115 kes berbanding 109 kes semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Malaysia mencatatkan sebanyak 21,315 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding, 21,072 kes semalam sekali gus mengatasi 8,517 kes sembuh.

Beliau berkata, sebanyak 87 kes bersamaan 0.41 peratus daripada 21,315 kes positif COVID-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.

Manakala baki kes harian, 21,228 kes bersamaan 99.59 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Bagi kes kategori tiga, empat dan lima, 16 kes atau 18.4 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 54 kes atau 62.1 peratus telah menerima dua dos vaksin COVID-19,” katanya.

Sementara itu, bagi laporan kematian, jumlah yang dilaporkan menurun sebanyak 11 kes berbanding semalam, 15 kes.

Rekod terbabit adalah setakat jam 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,125 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button