Berita UtamaDunia

Hamas kutuk perjanjian perdagangan zon bebas antara UK, negara haram Zionis

Bercanggah dengan pendirian Britain yang kononnya patuhi undang-undang antarabangsa

BAITULMAQDIS, 12 Rejab 1443H, Isnin – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengutuk pemeteraian perjanjian perdagangan zon bebas antara Britain dengan negara haram Zionis Israel, lapor agensi berita Shebab.

Hamas berkata, perjanjian tersebut jelas membuktikan United Kingdom (UK) menyokong negara haram Israel selain menyokong dasar jenayah dan perkauman terhadap penduduk Palestian.

Perjanjian berkenaan juga dilihat menjejaskan usaha penubuhan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan bebas.

Malah, ia turut bercanggah dengan dakwaan kerajaan Britain yang kononnya mematuhi undang-undang antarabangsa ketika penduduk Israel rancak meneruskan percerobohan dengan membina penempatan baharu, mengenakan sekatan, merobohkan kediaman penduduk Palestin dan merampas tanah penduduk Palestin secara kejam.

Pada masa sama, Hamas turut mengecam penggunaan Masjid Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) sebagai label rasmi dalam perjanjian yang menunjukkan bahawa UK menerima ‘kedaulatan Israel’ ke atas tapak suci umat Islam dan wilayah yang diduduki.

“Kami menyeru kepada kerajaan Britain untuk membatalkan segera perjanjian tersebut dan mengambil langkah-langkah drastik dalam meminda dasar-dasar untuk menyokong hak penduduk Palestin yang adil,” katanya.

Britain juga harus memaksa negara haram Zionis tersebut supaya mematuhi undang-undang antarabangsa dan tunduk kepada tuntutan Palestin dengan mengembalikan hak kebebasan dan kemerdekaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button