Berita Utama

Kedah boleh jadi rujukan kestabilan politik

UMNO hanya miliki dua kerusi di Kedah, tapi tak pernah diperkecilkan

ALOR SETAR, 12 Rejab 1443H, Isnin – Kerajaan Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dibentuk bersama PAS, Bersatu dan UMNO boleh dijadikan rujukan kepada usaha mewujudkan kestabilan politik.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan PAS Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, walaupun UMNO hanya memiliki dua kerusi mewakili Barisan Nasional (BN) di Kedah, tetapi jumlah sedikit ini tidak pernah diperkecilkan.

Bahkan, jawatan di semua peringkat diagih secara adil secaea rundingan bersama.

“Seorang daripadanya telah dilantik menjadi EXCO negeri, selain agihan turut diberi dalam jawatan di peringkat Ahli Majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung/Komuniti (JPKK),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, keterbukaan tersebut merupakan bukti ketelusan kerjasama dan telah membantu Kedah memacu pembangunannya demi rakyatnya tanpa ada hiruk-pikuk politik.

“Perkara ini seharusnya menjasi model untuk negeri-negeri lain mewujudkan muafakat dan perikatan yang sama.

“Tidak perlu ada pihak cuba meracuni dan mengadu-domba secara salah.

“Pengalaman kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kerisauan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) perlu dijadikan iktibar untuk semua,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, kestabilan politik negara hanya dapat diwujudkan dengan kesatuan antara semua pihak tanpa ada sikap untuk mendominasi atau menguasai kebersamaan selepas kerjasama dimeterai.

Mohd Azam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau berkata, perkara tersebut ditegaskan Muhammad Sanusi ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai, Johor Bahru, Sabtu lalu.

Pada Ahad, UMNO Bahagian Merbok menggesa UMNO Kedah menilai semula hubungan bersama PAS yang dilihat sombong susulan kenyataan Muhammad Sanusi yang menyatakan bahawa kestabilan politik boleh dicapai jika UMNO tidak lagi memerintah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button