Dunia

Lawatan Ahli Parlimen Israel cetus ketegangan di Sheikh Jarrah

8 rakyat Palestin ditahan konon disyaki terbabit rusuhan awam

BAITULMAQDIS, 12 Rejab 1443H, Isnin – Polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur semalam, ketika lawatan Ahli Parlimen berhaluan kanan Israel yang mencetuskan ketegangan.

Polis Israel mendakwa, lapan rakyat Palestin ditahan ketika pertempuran itu kononnya disyaki terbabit dalam rusuhan awam dan keganasan.

Pertempuran tercetus apabila Itamar Ben Gvir – pemimpin berhaluan kanan Israel – merancang membuka semula pejabat parlimen di Sheikh Jarrah, sebagai usaha sokongannya kepada penduduk Yahudi di wilayah diduduki itu.

Ketegangan yang tercetus di Sheikh Jarrah tahun lalu – membabitkan beberapa keluarga Palestin yang dihalau oleh kumpulan penjajah – telah mencetuskan perang Mei antara Israel dan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza.

Lebih 200,000 pendatang Yahudi tinggal secara meluas di Baitulmaqdis Timur dan dianggap sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Usaha kumpulan pendatang haram memperluaskan penjajahan Yahudi di Baitulmaqdis, telah menyemarakkan lagi permusuhan.

Ben Gvir dilaporkan mahu membuka kembali pejabat di Sheikh Jarrah untuk menyokong kumpulan pendatang Yahudi yang tinggal di kawasan kejiranan itu.

Pada Mei 2021, ahli parlimen itu memindahkan pejabatnya ke kawasan kejiranan berkenaan tetapi dihalang daripada berpindah ke situ oleh kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu ekoran bimbang ketegangan meningkat antara Palestin dan Israel terhadap tindakan pengusiran.

Pada tahun lalu, ketegangan memuncak di Sheikh Jarrah selepas mahkamah Israel mengarahkan pengusiran beberapa keluarga Palestin yang memihak penjajahan kumpulan pendatang Yahudi.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button