PRN Johor: Jangan libatkan guru sekolah menengah sebagai petugas
Bakal terdedah kepada COVID-19, beri ancaman kepada calon SPM

JOHOR BAHRU, 12 Rejab 1443H, Isnin – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta bertegas dan tidak melibatkan guru-guru yang mengajar di sekolah menengah dalam negeri ini sebagai petugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara tersebut disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang melihat keterlibatan golongan guru akan mendedahkan diri dengan penularan pandemik COVID-19.
Malah, tindakan itu juga memberi ancaman kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya bimbang jika guru-guru sekolah menengah terlibat dalam proses pilihan raya sebagai ejen atau pegawai sementara SPR yang akan melalui banyak mesyuarat, latihan dan tugasan serta dibimbangi terkena jangkitan COVID-19.
“Jika itu berlaku ia akan menyebabkan guru-guru berkenaan perlu dikuarantin dan ini sudah tentu akan menjejaskan persiapan pelajar yang mengambil peperiksaan SPM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau berharap, SPR mengambil perhatian berhubung perkara itu kerana pada masa ini kes baharu COVID-19 di Johor antara yang tertinggi di seluruh negara.
Sabtu lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya akan memohon SPR untuk tidak membenarkan sekolah menengah digunakan sebagai tempat mengundi pada PRN Johor.
Keputusan berkenaan diambil bagi membolehkan peperiksaan SPM berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.