Berita UtamaDunia

Thailand rancang buka sempadan dengan Malaysia pada Mac

Pelancong masih perlu jalani ujian saringan walau tiada kuarantin

BANGKOK, 12 Rejab 1443H, Isnin – Thailand merancang membuka semula sempadannya dengan Malaysia bulan depan, dalam usaha merangsang kembali sektor pelancongan serta ekonomi di wilayah selatan.

Jurucakap kerajaan, Rachada Dhbadirek berkata, Perdana Menteri, Prayut Chan o Cha mengarahkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dan pusat operasi kecemasan pelancong serta sukan membuat garis panduan mitigasi pandemik, bagi membuka semula sempadan di beberapa wilayah khususnya di Songkhla, Yala, Narathiwat dan Satun.

“Berikutan dasar kerajaan untuk membuka gelembung perjalanan dengan Malaysia, pelancong dari negara jiran akan dibenarkan masuk di bawah skim ‘Test and Go’ tanpa perlu menjalani kuarantin ketika masuk ke negara ini,” katanya.

Bagaimanapun Rachada berkata, pelancong masih perlu menjalani dua ujian saringan termasuk lulus ujian Rt-PCR apabila memasuki Thailand.

Tegas beliau, Perdana Menteri yakin Thailand akan kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia walaupun berdepan pandemik.

“Kerajaan akan menyokong usaha-usaha lain untuk menggiatkan semula sektor pelancongan dengan menekankan hal-hal berkaitan kesihatan dan keselamatan awam,” kata Rachada.

Sementara itu, Inspektor Jeneral di Zon Kesihatan Awam 12, Dr Suthep Phetmak berkata, situasi COVID-19 di kedua-dua negara kini adalah sama dan berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Sabtu lalu, 20,000 kes baharu direkodkan, namun agensi kesihatan awam Thailand menjangkakan risiko pembukaan semula sempadan adalah rendah.

Bagaimanapun, Rachada menjelaskan, sebelum pembukaan semula, agensi kerajaan akan menyediakan proses imigresen, ujian, hotel dengan standard SHA+ serta operasi perniagaan dengan Tetapan Bebas COVID.

Proses-proses berkenaan turut dilakukan di kawasan pengangkutan awam, lokasi pelancongan, restoran dan pusat membeli-belah.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button