Berita Utama

Pahang batal kelulusan kawasan pembalakan seluas 40.47 hektar di Bukit Makro

Keputusan dibuat selepas ambil kira kepentingan awam

KUANTAN, 13 Rejab 1443H, Rabu – Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) mengesahkan kerajaan negeri telah membatalkan kelulusan kawasan pembalakan seluas 40.47 hektar di Bukit Makro, Maran, membabitkan tanah kerajaan yang diberikan kepada Amanah Saham Pahang (ASPA) pada 17 Januari lepas.

Menurut JPNP dalam kenyataan hari ini, keputusan membatalkan kelulusan itu dibuat setelah kerajaan Pahang membuat penilaian berdasarkan analisis pascabanjir dan mengambil kira kepentingan awam.

Sehubungan itu, JPNP telah mengarahkan semua aktiviti prapembalakan di kawasan itu dihentikan selain semua jentera terbabit dikeluarkan.

JPNP memaklumkan, kawasan yang diluluskan itu tidak berada dalam kawasan hutan simpan dan penilaian yang diperlukan, khususnya berkaitan impak alam sekitar telah memperoleh kelulusan daripada jabatan terbabit.

“Kerja pembalakan di kawasan itu masih belum dimulakan oleh pelesen. Hanya kerja awalan membersihkan jalan pengeluaran dan pembinaan matau utama atas tanah kerajaan sahaja yang telah dimulakan.

“Bagaimanapun, JPNP telah mengarahkan kerja itu dihentikan semasa musim tengkujuh dan banjir yang berlaku baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan isu tular di Facebook sejak Ahad lepas mendesak kerajaan negeri membatalkan lesen pembalakan di hutan Bukit Makro yang didakwa diluluskan pada akhir 2020 namun dikatakan operasi pembalakan itu ditangguhkan akibat musim tengkujuh. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button