Berita Utama

270,000 kanak-kanak bawah 12 tahun dijangkiti COVID-19

56 peratus kes MISC berlaku pada kanak-kanak 5 hingga 12 tahun

KUALA LUMPUR, 13 Rejab 1443H, Selasa – Seramai 270,000 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dijangkiti COVID-19 antara Julai dan Disember tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, seramai 63 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun telah meninggal dunia akibat COVID-19 manakala kajian daripada 14 hospital kerajaan di seluruh negara mendapati 174 kes sindrom keradangan berbilang sistem pada kanak-kanak (MISC) telah dikesan.

“(Daripada jumlah itu) 56 peratus atau 100 kes MISC berlaku pada kanak-kanak dalam lingkungan umur lima hingga 12 tahun dan empat peratus kematian…kanak-kanak boleh terjejas teruk (oleh COVID-19) dan kanak-kanak telah dibawa ke mana-mana.

“Prosedur operasi standard (SOP) telah dilonggarkan, orang ramai melancong, berkelah atau ke pusat beli-belah dengan membawa anak-anak mereka dan kini anak-anak kembali ke sekolah (namun), semua orang telah divaksinasi kecuali kanak-kanak,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV yang disiarkan hari ini.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (CITF-C) berkata, adalah penting untuk kanak-kanak diberi vaksin kerana mereka berisiko mendapat komplikasi akibat COVID-19 iaitu MISC yang menyebabkan keradangan dan komplikasi kepada pelbagai organ dan COVID-19 jangka panjang.

PICKids yang bermula pada 3 Februari menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 untuk melindungi golongan itu daripada jangkitan COVID-19.

Ia juga bertujuan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dibendung sekali gus mengelakkan kluster dalam kalangan murid.

Setakat semalam, seramai 206,748 atau 5.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button