8,120 guru baharu lapor diri 1 Mac
KPM, SPP kerjasama percepat pelantikan baki ambilan guru one-off
BANGI, 13 Rejab 1443H, Selasa – Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara one-off berjaya dalam temu duga fasa 2 dan 3 akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu kenyataan berkata, kesemua guru berkenaan boleh membuat semakan penempatan bermula semalam.
Beliau berkata, pengambilan khas guru secara one-off yang membabitkan keseluruhan 18,702 orang itu adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang telah lama berlarutan.
“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan.
“Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya.
Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru one-off dalam masa terdekat.
“Ini amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.
“InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu persatu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” katanya.