Berita Utama

Dong Zong pertahan isu guru ganti SJKC, dakwa KPM gagal selesai masalah kekurangan guru

Saran kementerian peruntuk dana khas untuk bayar guru sementara

BANGI, 13 Rejab 1443H, Selasa – Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) tampil mempertahankan beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kuala Lumpur yang menerima surat dari Jabatan Pendidikan berhubung isu pengambilan guru ganti, kerana didakwa dibuat tanpa permohonan Kementerian Pendidikan (KPM).

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon dalam kenyataan di Facebooknya memuat naik surat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada semua guru besar SJKC bertarikh 15 Disember 2021.

Menerusi surat itu menyebut Mesyuarat Pengurusan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 30 November 2021 telah memutuskan supaya pihak pentadbir mematuhi pengurusan pengambilan guru ganti di sekolah.

Hang Soon berkata, arahan khas itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur susulan aduan diterima KPM dari guru penolong kanan sebuah SJKC di Kuala Lumpur tahun lalu, berkenaan guru besar dan sebahagian guru di SJKC tidak mengikut jumlah masa mengajar yang mencukupi.

Katanya, hasil siasatan KPM mengenai perkara itu mendapati bahawa dakwaan terbabit adalah benar dan tindakan telah diambil terhadap SJKC berkenaan.

Tampil mempertahankan SJKC terlibat, Dong Jiao Zong meluahkan kebimbangan terhadap arahan Jabatan Pendidikan supaya permohonan guru sementara dan guru ganti hanya perlu melalui sistem MySTEP dan bukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Dong Jiao Zong yang turut menghadiri program dalam talian yang diadakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon telah meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula keputusan ini agar pendekatan yang lebih fleksibel dapat dilaksanakan bagi menangani keperluan mendesak kekurangan guru di SJKC.

“Masalah kekurangan guru di SJKC yang serius masih gagal diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan walaupun sudah berdekad lamanya dan ini telah menjejaskan operasi dan aktiviti pengajaran di SJKC,” kata dua pertubuhan pendidikan Cina itu dalam satu kenyataan bersama.

Dong Jiao Zong berkata, KPM telah meluluskan permohonan ramai guru yang mahu berkhidmat di negeri lain pada hujung tahun lalu, yang menyebabkan masalah kekurangan guru bertambah teruk.

Katanya, kementerian itu perlu menyemak secara menyeluruh mekanisme sedia ada dan menyelarasnya bagi memastikan setiap kekosongan guru diisi sepenuhnya sebelum sesi persekolah bermula.

“Walaupun KPM telah melancarkan program pengambil 18,702 guru untuk sekolah pelbagai aliran pada Julai tahun lalu, jumlah pemohon untuk beberapa mata pelajaran SJKC menunjukkan penurunan dan mengundang rasa tidak puas hati kerana pihak sekolah tidak pasti sama ada kekosongan itu akan diisi mengikut masa, sehingga perlu membayar guru ganti dan guru sementara dari poket sendiri melalui Lembaga Pengurus Sekolah atau PIBG demi kelancaran operasi harian sekolah yang akan menjejaskan hak dan kepentingan murid.

“Pengambilan guru sementara di SJKC adalah tindakan sukarela masyarakat untuk membantu pendidikan negara dalam menangani masalah kekurangan guru terlatih,” dakwa Dong Jiao Zong.

Pertubuhan itu mendakwa, walaupun sistem MySTEP bertujuan memastikan kualiti pengajaran, namun prosedur sistem berkenaan menyusahkan dan banyak permohonan tidak dilulus segera menyebabkan aktiviti pengajaran di sekolah terganggu.

Justeru, Dong Jiao Zong meminta KPM meneliti semula langkah itu dan memudahkan sistem serta prosedur permohonan berkaitan supaya tidak mengganggu sesi pengajaran di SJKC yang akan menjejaskan kemajuan murid.

“Dalam program online tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon telah memberitahu Dong Jiao Zong dan pertubuhan lain bahawa SJKC masih boleh mengupah guru sementara, tetapi mesti terlebih dahulu memohon kepada jabatan pendidikan.

“Ini diikuti saranan Dong Jiao Zong yang mahu KPM mengumumkan prosedur khusus bagi pengambilan guru sementara SJKC secepat mungkin, Dong Jiao Zong berkata, KPM harus memperuntukkan dana khas kepada setiap SJKC bagi membayar guru sementara untuk mengajar.

“Dong Jiao Zong turut menyeru KPM untuk mengadakan platform komunikasi khusus bagi membincangkan hal ehwal SJKC supaya perbincangan dengan pertubuhan-pertubuhan Cina dan institusi pendidikan dapat diadakan dengan kerap untuk bertukar pandangan, menyelaras dan merumus apakah sasaran mekanisme jangka pendek, sederhana serta panjang untuk menyelesaikan secara saintifik pelbagai masalah yang telah lama menjejaskan operasi SJKC, termasuklah kekurangan guru,” katanya.

Berita berkaitan:

https://ismaweb.net/2022/02/14/sjkc-di-kl-ambil-guru-ganti-tanpa-permohonan-dari-kpm/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button