Berita Utama

Elak aktiviti air, Monsun Timur Laut belum berakhir

Paras air sungai beberapa daerah akan tunjuk kenaikan

KUALA NERUS, 13 Rejab 1443H, Selasa – Orang ramai diingatkan supaya terus mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti terutama rekreasi di kawasan pantai dan sungai sehingga tamat musim Monsun Timur Laut (MTL) pada Mac ini.

Ia berikutan paras air sungai beberapa daerah di negeri ini menunjukkan kenaikan sehingga melepasi paras amaran dan waspada susulan hujan lebat sejak semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata setakat ini, Sungai Chalok di Setiu dan Sungai Telemong di Hulu Terengganu sudah melepasi paras amaran.

Menurutnya, enam lagi sungai iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Setiu di Kampung Besut; Sungai Nerus di Kampung Langkap; Sungai Marang di Pengkalan Berangan, Sungai Tebak Sungai Besut di Kampung Keruak pula telah melepasi paras waspada.

“Oleh itu, kita nasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi aktiviti air kerana musim tengkujuh masih belum berakhir,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosman berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan di kawasan-kawasan rekreasi air bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button