Berita Utama

KTMB perkenal diskaun Pakej Keluarga Malaysia mulai 14 Februari

Tawar promosi tambang perjalanan berkumpulan 25 peratus

BANGI, 13 Rejab 1443H, Selasa – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan diskaun Pakej Keluarga Malaysia melalui perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity kepada semua warganegara Malaysia bermula 14 Februari 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, Pakej Keluarga Malaysia adalah inisiatif baharu KTMB bagi memberi promosi diskaun tambang perjalanan berkumpulan sebanyak 25 peratus bagi perjalanan mula 14 Februari hingga 31 Disember 2022.

Beliau berkata, pakej itu boleh dibeli bagi perjalanan minima empat tiket dalam satu transaksi pembelian (dewasa atau kanak-kanak) untuk semua perkhidmatan ETS, Ekspres Rakyat Timuran dan Ekspres Selatan menggunakan kad promo KMKTMB2.

“Sebagai menyahut seruan kerajaan bagi membantu memulihkan ekonomi negara, KTMB akan terus optimis dalam memastikan perkhidmatan tren kekal menjadi pilihan utama melalui promosi-promosi yang dirangka khas untuk Keluarga Malaysia.

“Melalui pakej ini, kami menyasarkan peningkatan jualan tiket terutamanya musim cuti sekolah pada bulan Mac dan sambutan Aidilfitri pada bulan Mei nanti.

“Saranan saya kepada seluruh Keluarga Malaysia jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan promosi ini dan rancanglah perjalanan anda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.

“KTMB terus komited dalam usaha memastikan semua penumpang mematuhi SOP dan pengguna juga perlu memberi kerjasama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan untuk kesejahteraan bersama.

“Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button