Pengembara Malaysia boleh ke Filipina dengan bukti vaksinasi lengkap
Kerajaan Malaysia-Filipina saling iktiraf sijil vaksinasi secara timbal balas

BANGI, 13 Rejab 1443H, Selasa – Pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam MySejahtera, menurut Kementerian Luar Negeri.
Kementerian itu berkata, ini susulan kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina telah mencapai kata sepakat pada 14 Februari lalu, untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas.
Sehubungan itu, pengembara dari Filipina juga dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam VaxcertPH.
“Kemasukan pengembara juga tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara.
“Persetujuan tersebut telah membolehkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila membantu tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila pada 13 Februari 2022 untuk memasuki Filipina atas tujuan rasmi dan perniagaan,” kata kementerian.
Kementerian itu berkata, pada dasarnya, kerajaan Malaysia mengiktiraf pengembara yang telah lengkap vaksinasi diluluskan di bawah Senarai Kegunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau pihak berkuasa negara-negara tertentu.
“Walau bagaimanapun, pengiktirafan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan-kerajaan negara lain.
“Kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina juga sepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 kedua-dua negara secara atas talian dengan sistem yang lebih selamat dan terjamin bagi memudahkan laluan kemasukan pengembara yang telah lengkap divaksinasi tersebut,” katanya.