Tun M dakwa PRN Johor dirancang kluster mahkamah
Calon UMNO, BN beri kekuatan pada kluster mahkamah, kleptokrat
BANGI, 13 Rejab 1443H, Selasa – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari UMNO.
Dalam satu suratnya kepada pengundi Johor hari ini, Dr Mahathir mendakwa bahawa langkah itu bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dakwanya, perancangan mereka adalah apabila menang di pilihan raya umum nanti, kumpulan kluster mahkamah ini akan dapat mengguna kedudukan untuk menyelesai kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.
“Ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor.
“Memang benar, tetapi mereka yang bertanding di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat,” katanya.
Dr Mahathir berkata, beliau sedar wujud dalam kalangan pengundi yang menganggap PRN Johor tidak akan memberi kesan apa-apa, walaupun parti mana yang menerajui kepimpinan negeri.
“Di sini ingin saya memberi pandangan bahawa kesan PRN Johor ini kepada pilihan raya umum amat besar dan tidak boleh diambil ringan.
“Undi saudara dan saudari akan menentu parti mana yang akan menerajui kerajaan negeri Johor dan amatlah penting pilihan yang dibuat, selain memberi kebaikan kepada rakyat, tidak akan merugikan bangsa, agama dan tanah air,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Johor telah menolak calon-calon UMNO dan BN di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak serta mendesak Datuk Seri Najib Razak untuk melepas jawatan dan sebaliknya terus mempertahannya.
“Kali ini, mereka masih masih lagi mempertahan kleptokrat. Kerana itu parti saya, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.
“Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka,” katanya.