Berita UtamaDunia

COVID-19: Kanada longgar kemasukan pelancong asing

Pengembara lengkap vaksin hanya perlu buat ujian pantas antigen

OTTAWA, 14 Rejab 1443H, Rabu – Kanada akan melonggarkan kemasukan pelancong antarabangsa yang sudah lengkap divaksinasi mulai 28 Februari ini selepas kes jangkitan COVID-19 di negara itu menurun.

Kelonggaran itu membenarkan pengembara untuk sekadar melakukan Ujian Pantas Antigen COVID-19 dan bukan ujian molekul, kata pegawai.

Difahamkan, ujian antigen lebih murah berbanding ujian molekul dan boleh memberi keputusan pantas dalam tempoh beberapa minit.

Langkah baharu itu – termasuk ujian rawak untuk pengembara yang telah divaksin memasuki Kanada – diumumkan oleh menteri kerajaan Persekutuan menerusi satu taklimat.

Menteri Kesihatan, Jean-Yves Duclos berkata, Kanada juga akan memantau keadaan untuk memansuhkan keperluan ujian saringan bagi warganegaranya yang telah lengkap divaksinasi.

Bagaimanapun, keputusan itu hanya tertakluk kepada mereka yang melakukan perjalanan singkat – kurang daripada 72 jam – ke luar negara seperti ke Amerika Syarikat (AS), katanya.

“Perubahan ini mungkin bukan sahaja kerana kita sudah melepasi kemuncak Omicron, tetapi atas sebab rakyat Kanada di seluruh negara telah mendengar sains dan pakar,” kata Duclos kepada pemberita.

Menurut Kementerian Kesihatan, kira-kira 80 peratus rakyat Kanada telah diberi vaksin lengkap dan lebih 40 peratus juga sudah mendapatkan dos penggalak.

Selain itu, nasihat perjalanan global untuk warga Kanada juga sedang diteliti semula.

Sebelum ini, kerajaan menghalang semua perjalanan yang tidak penting, namun kini hanya menggesa rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button