Berita Utama

Permohonan ambil guru ganti diluluskan dalam tempoh seminggu: Hang Soon

Guru yang diambil melalui MyStep akan dibayar terus melalui KPM

BANGI, 14 Rejab 1443H, Rabu – Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan akan meluluskan permohonan daripada sekolah untuk mengambil guru ganti dalam tempoh seminggu.

Keputusan itu nampaknya dibuat tidak lama selepas pertubuhan radikal, Dong Jiao Zong mengadu mengenai masalah kekurangan guru di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Pertubuhan itu berkata, Kementerian Pendidikan masih gagal menyelesaikan masalah tersebut walaupun sudah berdekad lamanya dan ini telah menjejaskan operasi dan aktiviti pengajaran di SJKC.

Susulan itu, memetik Sin Chew Daily, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon memberi jaminan kepada sekolah bahawa kementerian tidak menghalang sekolah yang kekurangan guru, daripada mengambil guru ganti.

Menurutnya, KPM hanya memerlukan sekolah mengemukakan dokumen yang diperlukan dan memohon kelulusan sebelum mengambil guru sementara.

“Untuk mengambil guru ganti, sekolah mesti mematuhi garis panduan di bawah program pekerjaan jangka pendek dikenali sebagai MyStep dan mengemukakan permohonan berdasarkan mata pelajaran yang kekurangan guru,” katanya.

Pada masa sama, Hang Soon berkata, guru ganti yang diambil melalui MyStep akan dibayar terus melalui Kementerian Pendidikan.

Sekolah yang memilih untuk membayar guru ganti melalui persatuan ibu bapa dan guru bagaimanapun perlu membuat permohonan berasingan dengan kementerian, katanya.

“Ini adalah respons yang sama yang saya berikan sehari sebelumnya,” katanya.

Hang Soon berkata, beliau menyampaikan mesej itu kepada kumpulan pendidik Cina, termasuk Dong Zong, Jiao Zong, Majlis Bahasa Cina dan Kesatuan Kebangsaan Ketua-ketua Sekolah pada 12 Februari lalu.

Terdahulu, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) tampil mempertahankan beberapa SJKC di Kuala Lumpur yang menerima surat daripada Jabatan Pendidikan berhubung isu pengambilan guru ganti, kerana didakwa dibuat tanpa permohonan KPM.

Dong Jiao Zong meluahkan kebimbangan terhadap arahan Jabatan Pendidikan supaya permohonan guru ganti hanya perlu melalui sistem MySTEP dan bukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Dong Jiao Zong berkata, tindakan KPM meluluskan permohonan ramai guru yang mahu berkhidmat di negeri lain pada hujung tahun lalu telah menyebabkan masalah kekurangan guru bertambah teruk.

Katanya, kementerian itu perlu menyemak secara menyeluruh mekanisme sedia ada dan menyelarasnya bagi memastikan setiap kekosongan guru diisi sepenuhnya sebelum sesi persekolah bermula.

Pautan terdahulu;

https://ismaweb.net/2022/02/14/1sjkc-di-kl-ambil-guru-ganti-tanpa-permohonan-dari-kpm/
https://ismaweb.net/2022/02/15/dong-zong-pertahan-isu-guru-ganti-sjkc-dakwa-kpm-gagal-selesai-masalah-kekurangan-guru/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button