Berita Utama

Hampir 12,000 tandatangan petisyen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak

Kempen berjalan sepanjang Februari hingga Mac

BANGI, 14 Rejab 1443H, Rabu – Hampir 12,000 orang menandatangani petisyen ‘Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ yang dilancarkan dalam talian, baru-baru ini.

Ketika berita ini ditulis sekitar jam 5 petang hari ini, seramai 11,478 responden sudah menandatangani petisyen itu di platform change.org.

Petisyen yang dilancarkan oleh gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersama Yayasan Maghfirah, akan berjalan sepanjang Februari sehingga Mac di seluruh negara.

Turut bersama membawa kempen gergasi ini kepada rakyat Malaysia bagi memberi kesedaran mengenai bahaya arak kepada masyarakat adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PEACE, Indahnya Islam, PEMBELA dan ACCIN.

Kempen ini bukan sahaja disasarkan kepada orang Islam, namun untuk setiap lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

Penggerak kempen berkata, ia bukan sahaja menekankan aspek kesedaran sahaja, tetapi turut menyentuh polisi-polisi negara.

Ini termasuklah tatacara jualan arak di kedai-kedai serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada terhadap apa-apa yang berkaitan dengan arak.

“Dengan langkah praktikal ini, empat tuntutan kempen ini; pertama, menuntut kerajaan agar menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program yang menghidangkan arak secara terbuka dan umum.

“Kedua, menuntut PBT agar menguat kuasa dan memperkemas undang-undang berkaitan arak serta memperketatkan lagi syarat-syarat membeli dan menjual arak.

“Ketiga, menuntut PBT agar tidak membenarkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti muslim,” katanya.

Sementara yang terakhir, katanya, adalah menuntut pihak berkuasa agar membuat pemeriksaan dan pemantauan yang lebih ketat ke atas pemandu-pemandu mabuk terutamanya di waktu malam.

“Oleh itu rakyat Malaysia, mari sama-sama kita tandatangan dan sebarkan petisyen ini sebagai usaha kecil kita sehingga ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’,” katanya lagi.

Pautan petisyen; https://www.change.org/p/sejuta-rakyat-bantah-arak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button