Berita Utama

‘Jangan ganggu ibu bapa mahu vaksin anak mereka’

Hampir 900,000 kanak-kanak sudah didaftarkan melalui MySejahtera

BANGI, 14 Rejab 1443H, Rabu – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan pihak tertentu supaya tidak menganggu ibu bapa yang mahu memvaksinkan anak mereka.

Beliau berkata, liputan dan pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) semakin meningkat.

Katanya, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin COVID-19 walaupun ada pihak yang menyebarkan fitnah terhadap anaknya konon disuntik ‘vaksin angin’ ketika menerima dos pertama pada 13 Februari lalu.

“Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak. Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin.

“Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Menerusi data yang dikongsikan Khairy, sebanyak 892,974 kanak-kanak sudah pun didaftarkan untuk menerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera setakat 15 Februari.

Terdahulu, sebanyak 246,869 atau tujuh peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam negara telah mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids setakat semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button