Berita Utama

Kempen Ramadan Bersama 2022 sasar agihan RM7 juta

Aman Palestin laksana misi pertama ke Yaman minggu ini

BANGI, 14 Rejab 1443H, Rabu – Aman Palestin Berhad meneruskan kempen Ramadan Bersama bagi tahun ini untuk mengajak masyarakat Malaysia berkongsi rezeki membantu rakyat di Palestin, Syria dan Yaman bagi menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

Dengan bertemakan ‘Rancang Ramadan Anda’, kempen itu mengajak masyarakat untuk lebih bersedia memantapkan diri dalam melaksanakan kebaikan, dan pada masa sama membantu rakyat Palestin, Syria dan Yaman.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, merancang Ramadan adalah satu usaha dan galakan kepada masyarakat supaya bersedia dengan amalan terbaik untuk dilaksanakan pada bulan Ramadan serta tidak melepaskan peluang kebaikan yang ada di dalamnya.

Justeru, pelbagai projek yang akan dilaksanakan sepanjang kempen itu berlangsung termasuk ‘Cabaran Sedekah Subuh’ yang membuka ruang masyarakat menyumbang serendah RM10 setiap awal pagi di bulan Ramadan.

“…dan Sedekah Pahala 1000 Bulan sebanyak RM50 pada 10 hari terakhir Ramadan, sudah pasti membantu kita lebih fokus dan istiqamah dalam bersedekah serta menjiwai kesukaran saudara kita di sana.

“Begitu juga dengan penerima manfaat khususnya warga Palestin, Syria dan Yaman,” katanya dalam sidang media pelancaran kempen ‘Ramadan Bersama-Rancang Ramadan Anda’, di sini hari ini.

Beliau berkata, manfaat itu dikhaskan untuk 7,000 keluarga ibu tunggal dan usaha membaik pulih Masjid Al-Aqsa.

“Aman Palestin meletakkan fokus kepada kedua-dua manfaat ini setelah meneliti kehidupan dan keperluan yang amat diperlukan buat ibu tunggal yang serba kekurangan dan keadaan Masjid Al-Aqsa yang memerlukan kerja-kerja membaik pulih.

“Turut dibuka kepada masyarakat untuk berinfak dalam pakej Tajaan Iftar bernilai RM50 dan hadiah raya bernilai RM150 yang akan diberikan kepada warga Palestin, Syria dan Yaman,” katanya.

Muhd Farhan berkata, dengan sasaran agihan sebanyak RM7 juta, Aman Palestin yakin bahawa lebih ramai mereka yang memerlukan bantuan mendapat manfaat daripada kempen berkenaan.

Katanya, Aman Palestin juga akan melaksanakan misi pertamanya ke Yaman pada hujung minggu ini dengan jumlah bantuan sebanyak AS$100,000.

“InsyaAllah kita akan berikan sumbangan dalam sektor pendidikan dan perubatan di samping kotak makanan, pakaian musim sejuk dan pam air yang memberi manfaat sekitar 7,000 orang.

“Ini juga sebahagian daripada persediaan memasuki bulan Ramadan dalam melihat keperluan utama dan keadaan semasa di sana,” katanya.

Justeru, Aman Palestin mengajak seluruh masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan kempen Ramadan Bersama dengan harapan kemeriahan bulan itu dapat dikongsi bersama.

“Sentiasalah bersama Aman Palestin dalam berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa, keseluruhan Palestin, Syria serta Yaman demi mempertahankan kedaulatan Islam dan seterusnya meletakkan diri kita sebagai umat Islam yang bertanggungjawab terhadap kebajikan saudara yang memerlukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button