Berita UtamaDunia

Peneroka haram Israel musnahkan 50 pokok zaitun Palestin

Rumah hijau, kemudahan penyaliran air turut dimusnahkan

TEBING BARAT, 14 Rejab 1443H, Rabu – Tindakan biadab pendatang haram Israel memusnahkan pokok zaitun milik petani Palestin dilihat seperti tiada kesudahan.

Terbaharu, 50 pokok zaitun milik petani Palestin di bandar Salfit, Tebing Barat yang diduduki telah dimusnahkan peneroka haram Israel.

Bukan itu sahaja, rumah hijau dan kemudahan penyaliran air turut dimusnahkan di atas tanah milik keluarga al-Dik di bandar Kafr al-Dik, barat Salfit.

Walaupun telah dianiayai sedemikian rupa, pemilik bersama tanah berkenaan, Kanaan al-Dik tidak patah semangat untuk menanam semula pokok tersebut.

“Kami akan menanamnya semula dan kami tidak akan menyerahkan tanah kami kepada mereka walau apapun kos,” tegasnya.

Sementara itu, Datuk Bandar, Mohammad Naji memberitahu agensi berita Maan bahawa di kawasan berlainan, jentolak Israel merobohkan kemudahan penyaliran air dan menyekat jalan menuju ke Kafr al-Dik.

Katanya, bahagian utara bandar itu menghadapi ‘serangan yang belum pernah berlaku sebelum ini’ oleh pendudukan Israel yang dia percaya rancangan itu untuk meluaskan penempatan haram berhampiran.

Salfit dikelilingi oleh beberapa penempatan haram Israel dan penduduknya kerap mengalami serangan peneroka.

Sebelum ini, pakar hak asasi manusia dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat yang diduduki menghadapi peningkatan ‘membimbangkan’ dalam keganasan peneroka pada tahun 2021.

Menurut angka PBB, 370 serangan peneroka membawa kepada kerosakan harta benda pada tahun itu, meningkat daripada 274 pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 126 serangan lagi menyebabkan kematian berbanding 84 pada tahun 2020.

Pada masa sama, bangunan penempatan haram meningkat tiga kali ganda daripada tahun sebelumnya, dengan kelulusan pembinaan 4,000 unit baharu, dedah Pakar Penempatan Palestin dan juga Pengarah unit peta di Pusat Pengajian Arab di Baitulmaqdis, Khalil al-Tafkaji. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button