Berita UtamaIstimewa

Kenaikan gaji penjawat awam antara 8 janji manifesto calon Pejuang Putrajaya

Datuk Rosli sedia debat 3 penjuru bincang tawaran kepada penduduk

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

PUTRAJAYA, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Calon Pejuang Parlimen P125 Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli bertekad untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar rujukan bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di peringkat dunia.

Hasrat itu menjadi asas utama dalam 8 jaminan manifestonya bertemakan ‘Yang Bekerja’ seperti diumumkan, hari ini.

Berhasrat menjadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar pintar, Mohd Rosli mahu meningkatkan efisiensi lalu lintas dan lampu trafik berteknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) dan Internet Kebendaan (IoT). 

“Ini bandar berprestij, sepatutnya sistem di traffic light seperti itu sudah lama dibuat. Ini tidak, kereta terpaksa berhenti lama, walaupun tiada kereta di lorong lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kedua, Mohd Rosli mahu berusaha menyelaras kenaikan gaji penjawat awam dengan kadar nilaian inflasi masa kini. 

Ini kerana, gaji penjawat awam telah lama tidak dikaji dan diselaraskan, malah kali terakhir berlaku perubahan gaji penjawat awam adalah pada tahun 2011-2013. 

Penyelarasan gaji ini juga, katanya, akan membantu penjawat awam yang tersepit dengan kos sara hidup yang semakin meninggi dan mencengkam. 

“Saya dulu lama berada dalam pentadbiran, saya bekas Pegawai Tadbir Diplomatik, saya amat memahami,” katanya.

Ketiga, beliau menawarkan kepada warga Putrajaya untuk menambah peruntukan bajet bagi penyelenggaraan kuarters, yang sekian lama tidak selesai. 

“Saya llihat apabila bertemu dengan penghuni kuarters, mereka mengadu semakin banyak kuarters terabai dan tidak diselenggara dengan pelbagai alasan,” katanya.

Manakala yang keempat, Mohd Rosli menyatakan akan berusaha untuk menambah bilangan pusat transit anak-anak sewaktu transisi sekolah pagi dan kelas petang. 

“Saya faham kebimbangan ibu bapa yang risau keselamatan anak-anak antara sesi sekolah pagi dan petang. Jadi seharusnya, anak-anak diberikan kemudahan pusat transit yang lebih banyak dengan kadar bayaran berpatutan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mendengar banyak keluhan peniaga yang bergelut dengan kadar sewaan premis perniagaan yang mencecah ribuan ringgit. 

“Antara lain saya dengar bahawa anak-anak muda yang ingin berkahwin namun kos dewan perkahwinan yang sangat tinggi membebankan mereka. 

“Jadi, manifesto saya yang kelima ialah mengurangkan kadar sewaan premis perniagaan dan dewan perkahwinan sebanyak 20 peratus bagi kedua-dua jenis premis, untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka,” katanya.

Manifestonya yang keenam pula adalah mahu menaikkan potensi pelancongan Putrajaya sebagai pusat kepada makanan tradisional Malaysia. 

Katanya, makanan tradisional ini seharusnya diangkat seiring Putrajaya sebagai mercu Malaysia. 

“Saya akan membangunkan Pusat Makanan Tradisional Malaysia di Putrajaya ini seterusnya membuka ruang pelancongan dan ruang pekerjaan baharu untuk anak-anak Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, membangunkan perpustakaan Tamadun Bangsa di Putrajaya menjadi manifesto ketujuh Mohd Rosli.

“Seharusnya di sebuah bandar yang utama seperti Putrajaya ini mempunyai pusat keilmuan setaraf Perpustakaan Alexandria, Library of Congress, Vatican Library yang menjadi pusat keilmuan penyelidik antarabangsa dan juga mercu baharu Putrajaya.

“Dan yang terakhir sekali kelapan, penyelesaian kepada isu tempat letak kereta dan pengangkutan awam. Kita sangat bertekad untuk menambah baik pengangkutan awam terutamanya bas dan monorail yang tergendala lama. 

“Bas tak banyak, tak sampai tepat waktu, itu punca warga Putrajaya tak minat untuk naik. Kita akan berusaha menyelesaikan masalah kekerapan bas ini,” katanya.

Mohd Rosli berkata, pihaknya menekankan kewibawaan dan integriti dalam melaksanakan manifesto ini.

“Kita tidak mahu menabur janji banyak-banyak, tapi tak siap. Kita nak sama-sama jadi Yang Bekerja untuk Putrajaya.

“Saya akan pastikan bandar Putrajaya pada masa hadapan menjadi lebih unggul dan disayangi semua. Izinkan saya untuk ke Parlimen Putrajaya!,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Rosli turut menyatakan beliau berbesar hati sekiranya mana-mana media boleh menganjurkan debat tiga penjuru bersama lawannya termasuk Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin bagi membincangkan tawaran kepada rakyat Putrajaya. 

“Saya bersedia!,” katanya dengan penuh semangat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button