Berita Utama

Kes harian meruncing, tiba masa laksana semula PKP

Elak sistem kesihatan kembali kritikal dan lumpuh

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 15 Rejab 1443H, Khamis – Tiada cara melainkan kerajaan perlu melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengatasi peningkatan kes harian COVID-19 sekali gus mengelak sektor kesihatan lumpuh seperti pernah berlaku sebelum ini.

Namun tempoh PKP yang dilaksanakan itu perlu dihadkan contohnya dilaksanakan dalam jangka masa dua minggu sahaja semata-mata demi mengawal kes COVID-19.

Perkara tersebut disuarakan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria yang melihat pelaksanaan PKP sebagai keperluan penting buat masa ini.

Katanya lagi, ia juga perlu dilakukan dengan segera bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah.

“Memandangkan sukar memastikan rakyat mematuhi SOP, pelaksanaan PKP adalah jalan terbaik mengekang penularan COVID-19.

“Sesiapa saja boleh membawa virus dan dijangkiti termasuk mereka yang bekerja di sektor ekonomi serta penerima vaksin.

“Ini kerana ada penerima vaksin yang merasakan diri mereka sudah kebal dan tidak mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka sebab itulah ada penerima vaksin juga dijangkiti COVID-19,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau turut menyuarakan sekiranya PKP tidak dilaksanakan dibimbangi keadaan akan bertambah teruk.

Semalam, Malaysia merekodkan kes hari paling tinggi iaitu 27,831 dan keadaan ini tidak mustahil akan berganda sekiranya semua pihak hanya melihat dan sekadar menyuarakan kebimbingan tanpa ada sebarang tindakan yang jelas serta efektif.

Beliau dalam masa sama menjelaskan, pelaksanaan PKP adalah untuk menjaga kesihatan rakyat bukannya menyekat hak orang ramai terutama golongan yang bekerja sendiri.

“Perlu disedari, PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac 2020 lalu telah menunjukkan hasil yang baik, selain berjaya menyekat penularan COVID-19 dengan lebih luas dan mengekalkan jumlah jangkitan kes baharu dalam lingkungan 100 sehingga 150 kes sehari,” katanya.

Malah, kata Dr Norzaidi lagi, unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) membuktikan, pelaksanaan PKP banyak menyumbang kepada pengurangan jumlah kumulatif kes positif COVID-19.

Tambah beliau, lebih membimbangkan ketika ini kadar kematian akibat wabak berkenaan mula meningkat sehari demi sehari walaupun sudah mengambil dos penggalak.

“Kita tidak mahu keadaan di hospital dan klinik menjadi padat, dan apabila berlaku, rakyat mula menyalahkan pihak hospital sedangkan semuanya berpunca daripada sikap degil masyarakat sendiri yang tidak mahu patuh dengan SOP,” katanya.

Justeru, Dr Norzaidi menegaskan, semua pihak perlu melihat perkara ini secara serius dan bekerjasama dalam menangani isu COVID-19 yang sudah berlanjutan lebih dua tahun.

Malah, KKM juga perlu memainkan peranan lebih efektif melalui memberi penerangan dan maklumat jelas kepada masyarakat semua dapat mematuhi SOP.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button