Berita Utama

Masjid di Terengganu diarah sedia lebih banyak kanopi

Galak lebih ramai jemaah tunaikan solat Jumaat

KUALA TERENGGANU, 15 Rejab 1443H, Khamis – Semua masjid di negeri ini diarah menyediakan lebih banyak kanopi bagi membolehkan ramai jemaah menunaikan solat Jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas pada 11 Januari lalu berikutan kebimbangan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin terhadap kehadiran dan sikap segelintir jemaah.

“Ahli jawatankuasa masjid perlu memainkan peranan berterusan dalam menggalakkan jemaah hadir menunaikan solat Jumaat.

“Penyediaan kanopi mencukupi itu melibatkan kawasan parkir masjid atau di ruangan kosong lain yang bersesuaian.

“Di samping itu, masjid yang mempunyai ruangan solat bertingkat pula hendaklah dibuka bagi digunakan sepenuhnya untuk ibadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, beliau meminta kerjasama daripada AJK masjid dan surau untuk terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi serta dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Penggunaan pengimbas suhu tidak lagi diwajibkan namun jemaah dikehendaki merekodkan butiran diri menerusi aplikasi MySejahtera atau ditulis di dalam buku yang disediakan,” katanya.

Shaikh Harun menambah, mesyuarat turut bersetuju menangguhkan bacaan qunut nazilah ketika solat Jumaat dan solat hajat selepas Jumaat.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui semua pejabat agama daerah turut diminta membuat pemantauan kehadiran ahli kariah lelaki ke masjid untuk solat Jumaat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button