Berita Utama

3 nelayan Rohingya ditahan APMM P.Pinang

Tak miliki kebenaran melakukan aktiviti tangkap ikan di perairan Malaysia

GEORGE TOWN, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Tiga nelayan warga Rohingya ditahan bersama sebuah bot nelayan tempatan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pualau Pinang di kedudukan 7.3 batu nautika tenggara Pulau Rimau, dekat sini, semalam

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata mereka yang merupakan etnik Rohingya berusia 24 hingga 33 tahun itu ditahan pada jam 6.30 petang kerana melanggar syarat sah dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel.

“Pemeriksaan kami mendapati bot nelayan milik warga tempatan dengan nombor pendaftaran yang sah itu dikendalikan tiga kru warga asing termasuk tekongnya yang kesemua mereka memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

“Namun mereka tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia. Mereka akan menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa surat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button