Berita Utama

MDA diarah menilai aduan berkaitan penggunaan kit ujian kendiri COVID-19

Penilaian juga akan dibuat ke atas kit ujian yang diragui di pasaran

PUTRAJAYA, 15 Rejab 1443H, Khamis – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) diarah memanggil semua pembekal kit ujian kendiri COVID-19 dalam negara, bagi menilai aduan yang diterima daripada pengguna, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, ia susulan aduan mengenai penggunaan kit ujian berkenaan yang menunjukkan keputusan COVID-19 meragukan.

“Saya juga meminta agensi (MDA) agar memohon pembekal mendapatkan maklumat jaminan kualiti daripada kilang prinsipal mereka,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, hari ini.

Katanya, penilaian juga akan dibuat ke atas kit ujian yang diragui di pasaran, untuk menentukan bahawa tiada kemerosotan dari segi kualiti dari waktu ia diluluskan sehingga sekarang.

“Perkara ini sedang dilaksanakan dan hasil tindakan MDA akan dimaklumkan kepada orang ramai nanti,” kata Khairy.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 27 Okt 2021, terdapat 49 kit ujian kendiri COVID-19 yang telah diberi kelulusan bersyarat oleh MDA (Rujukan:https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/10/senarai-kit-ujian-covid-19-kendiri-yg-diluluskan-27102021).

Sementara itu, ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Khairy berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan perkara itu.

“KKM dah buat syor dan cadangan, kita dah setuju dengan semua yang dibentang. Saya percaya dan yakin SOP ini sekiranya dipatuhi adalah mencukupi, untuk kita mencegah peningkatan (kes) yang terlalu mendadak,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button