10,298 kanak-kanak di Pahang terima vaksin COVID-19
168 PPV dibuka khusus vaksin kanak-kanak

KUANTAN, 16 Rejab 1443H, Jumaat – Seramai 10,298 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Pahang menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 168 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dibuka bagi pemberian vaksin kanak-kanak.
“Daripada jumlah itu, 46 PPV sekolah, 35 pasukan outreach sekolah, 65 PPV Klinik Kesihatan (PPVKK), 11 PPV hospital, satu PPV Awam dan 10 PPV ‘offsite’.
“PICKids Pahang telah bermula pada 3 Februari lalu dengan pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak komobid di 11 PPV,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau memberi anggaran populasi kanak-kanak yang layak menerima vaksin kanak-kanak di Pahang ialah seramai 192,600 orang.
Dalam pada itu, Nor Azimi memaklumkan, sehingga kelmarin, sejumlah 10,298 suntikan diberikan kepada kanak-kanak dengan pencapaian liputan sebanyak 5.3 peratus.
“Oleh itu, kita harap lebih ramai kanak-kanak akan mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.