Berita Utama

Johor larang kegiatan politik di masjid dan surau

Larangan tersebut berkuat kuasa serta-merta

KULAI, 16 Rejab 1443H, Jumaat – Tokoh dan pemimpin daripada mana-mana parti politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang kegiatan politik di dalam masjid dan surau di seluruh negeri Johor berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Tosrin Jarvanthi berkata ketetapan itu diambil oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Beliau berkata setiap kadi daerah dipertanggungjawabkan untuk memastikan tiada sebarang kegiatan politik termasuk majlis ceramah mahupun memberikan ucapan di masjid dan surau di kawasan mereka.

“Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ mengambil ketetapan tidak dibenarkan mana-mana tokoh dan pemimpin politik walaupun daripada parti kerajaan yang memerintah, menggunakan masjid serta surau untuk sebarang kegiatan politik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tosrin berkata sekiranya perkara seumpama itu berlaku, ia akan dirujuk kepada Bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi memutuskan tindakan lanjut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala tarikh penamaan calon pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button