Berita Utama

Umat Islam perlu pertahan akidah 3 anak mualaf: Ridhuan Tee

‘Jangan biarkan insiden Natrah berulang kembali’

BANGI, 16 Rejab 1443H, Jumaat – Umat Islam digesa mempertahankan akidah ketiga-tiga anak mualaf dan tidak sesekali menyerahkan mereka kepada pihak ekstremis ultra kiasu.

Gesaan disuarakan Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah itu dipercayai merujuk kepada isu seorang ibu yang membuat laporan polis untuk mendapatkan kembali tiga anaknya, yang kali terakhir diketahui bersama keluarga bekas suaminya.

Walaupun dalam konteks yang berbeza, Prof Ridhuan Tee mengingatkan semua pihak untuk tidak sesekali membiarkan insiden Natrah berulang kembali.

“Saya amat yakin, jika terlepas kepada ultra kiasu ini, maka selamat tinggallah akidah anak-anak ini. Pastikan akan dihindukan. Paling tidak dikristiankan. Perancangan busuk ini mesti disegera dihidu oleh umat Islam,” katanya dalam kenyataan.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, apa yang turut dikesalkan adalah apabila saban hari media ultra kiasu menyebelahi ibu tunggal ini dan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan pemimpin ekstremis ultra kiasu.

“Tidak ada yang baik di pihak Jabatan Agama Negeri Perlis dan badan kebajikan yang menjaganya. Semuanya buruk.

“Sekurang-kurang berterima kasihlah kerana telah menyelamatkan anak-anak ini daripada gelandangan dan menjaganya dengan baik.

“Ini tidak, hari-hari, ultra kiasu bercerita, yang buruk semua datang daripada kita, yang baik itu mereka semua,” katanya.

Pada masa sama, Prof Ridhuan Tee turut meluahkan rasa kesal apabila beberapa pemimpin politik Melayu dilihat turut bersekongkol dengan ultra kiasu dalam isu ini hanya kerana ‘laparkan’ secebis undi.

“Mereka turut mahukan anak-anak tersebut dipulangkan kepada ibunya dengan segera.

“Saya harap, umat Islam tolak parti Melayu ultra kiasu ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sebelum ini, seorang ibu berusia 34 tahun, Loh Siew Hong, membuat laporan polis bagi meminta kepulangan tiga anaknya, yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Pada masa ini, dia masih tidak dapat bersama tiga anaknya walaupun akhirnya berjaya mengesan mereka, setelah dilarikan bekas suaminya dan ditukar agama kepada Islam tiga tahun lalu.

Tiga anaknya yang mana terdiri daripada sepasang kembar berusia 14 tahun dan lelaki berusia 10 tahun dapat bertemu sekejap dengan ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di Perlis beberapa hari lalu.

Namun, mereka kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Siew Hong dan suaminya, Nagahswaran Muniandy berpisah pada Mac 2019, dan tidak lama kemudian wanita itu terasing daripada anak-anak.

Nagahswaran dilaporkan melarikan tiga kanak-kanak itu ketika ketiadaan Siew Hong dan menukar agama serta menempatkan mereka di sebuah NGO berkaitan Islam.

Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.

Pautan terdahulu;

Ramasamy cenderung pertikai pengislaman anak Loh, bukan hak penjagaan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button