Berita Utama

Syor Majlis Agama Islam-Majlis Tanah Negara bergabung majukan tanah rizab, wakaf

Contohi Pusat Wakaf Seetee Aisah yang dibangunkan untuk kepentingan umat

BANGI, 19 Muharam 1442H, Isnin – Sudah tiba masanya kerajaan membangunkan Tanah Rizab Melayu dan tanah wakaf secara strategik dan lebih sistematik, kata Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Dr Aznan Hassan.

Percaya masih banyak tanah belum dimajukan, beliau berkata, ‘blue print’ (rangka tindakan) perlu diwujudkan sebagai panduan untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu dan tanah wakaf.

“Tanah-tanah ini perlu ada strategi pembangunannya, kerana tak semua tanah di bandar, di kampung di perindustrian, dan tak semua tanah ada penduduk.

“Bagaimana mahu dibangunkan tanah rizab ini adalah dengan diadakan blue print,” katanya dalam Wacana Dasar ‘Mewakafkan Tanah Melayu’ disiarkan TV Pertiwi. 

Serentak itu, beliau mengesyorkan Majlis Tanah Negara dan Majlis Agama Islam negeri untuk bergabung bagi menjayakan pelan ini secara berkesan.

“Majlis agama kena bersikap fleksibel jangan terlalu tertutup sampai tak boleh nak runding.

“Kekalkan majlis agama sebagai pemegang amanah tetapi pentadbirannya diberi kepada yang layak dan profesional. 

“Ini yang dibuat di Kuwait. Di sana, walaupun majlis agama pegang tanah wakaf, tapi dia benarkan tanah-tanah ditadbir secara profesional. Jadi setiap wakaf ditadbir oleh profesional yang telah dilantik,” katanya.

Dalam pada itu, pihak yang telah diamanahkan untuk mentadbir tanah-tanah ini juga wajar diberi imbuhan yang lumayan supaya mereka dapat menjalankan tugas sebaiknya.

“Mentaliti uruskan tanah wajaf juga kena berubah. Perlu bersifat terbuka. Kerajaan pun kena ada ‘political will’ untuk usahakan dan kerjasama ke arah yang lebih baik.

“Kita lihat contoh Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah di Jalan Tun Hussein Onn di Pulau Pinang. Bangunkan tanah yang ada ini seperti itu. Tinggal sahaja ‘political will’ dan kesanggupan kerajaan untuk bangunkan ia,” katanya.

Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah menjadi model pusat komersial pertama seumpamanya di negara ini membabitkan pembangunan tanah wakaf demi kepentingan umat.

Ia dibangunkan di atas tanah seluas lima hektar, dan terdiri daripada 27 unit kedai serta rumah teres dua tingkat (76), yang dinamakan sebagai Taman Wakaf Seetee Aisah sempena nama pewakaf, iaitu Seetee Aisah Mahmood.

Pusat komersial serta kediaman yang hanya boleh dimiliki umat Islam berkenaan dibangunkan dengan kerjasama strategik membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINP) selaku pemegang amanah tanah dan pemaju, UDA Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, UDA Land (North) Sdn. Bhd.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button