Berita UtamaDunia

Kanak-kanak 5 tahun terperangkap 2 hari dalam perigi di Afghanistan

Pasukan penyelamat giat melakukan operasi keluarkan mangsa

KANDAHAR, 16 Rejab 1443H, Jumaat – Pasukan penyelamat kini bertungkus-lumus berusaha menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang terperangkap selama dua hari di sebuah perigi di perkampungan kecil di Shakok, selatan Afghanistan.

Kisah tragis di wilayah Kandahar itu berlaku kira-kira dua minggu selepas kejadian hampir serupa di Maghribi yang menyaksikan mangsa meninggal dunia.

Video yang tular di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Haidar terperangkap di dalam sebuah perigi sejak Selasa lalu dan hanya mampu melambai tangan.

Turut kelihatan pasukan penyelamat menurunkan lampu dan kamera ke dalam perigi berkenaan ketika operasi menyelamat dilakukan.

Perigi tersebut dikatakan berkedalaman 25 meter dan Haidar tersangkut pada batu di kedalaman 10 meter.

Pasukan penyelamat kini terpaksa menggunakan jentolak bagi menggali lubang kecil sebelum proses mengangkat mangsa boleh dilakukan.

Datuk kanak-kanak berkenaan, Abdul Hadi berkata, cucunya jatuh ke perigi tersebut ketika cuba membantu beberapa penduduk kampung menggali perigi berikutan keadaan kemarau melanda perkampungan mereka.

Operasi menyelamat disaksikan ratusan penduduk kampung yang turut sama memberi kata-kata semangat kepada ahli keluarga dan juga Haidar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button