Berita Utama

Peguam positif COVID-19, prosiding kes pengubahan wang haram Rosmah ditangguh

Tarikh pendengaran baharu ditetapkan pada 2 Mac ini

KUALA LUMPUR, 16 Rejab 1443H, Jumaat – Prosiding kes Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, yang sepatutnya didengar hari ini di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan selepas seorang peguamnya disahkan positif COVID-19.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar hujahan pasukan pembelaan yang membantah percubaan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengemukakan sendiri hujahannya terhadap permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkenaan.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menghantar e-mel kepada Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas selepas prosiding kes itu semalam, bagi memaklumkan perkara itu.

Dalam e-mel itu menyatakan selepas pasukan pembelaan meninggalkan mahkamah semalam pada pukul 2.48 petang, seorang daripada peguam telah menerima laporan patologi yang mengesahkan bahawa beliau positif COVID-19. Laporan ujian patologi turut disertakan dalam e-mel berkenaan.

“Kami memohon prosiding hari ini ditangguhkan kerana semua pihak yang berada di mahkamah semalam adalah kontak rapat kepada peguam itu,” kata Geethan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn ketika dihubungi berkata, tarikh pendengaran baharu bagi permohonan itu ditetapkan pada 2 Mac ini.

Pada 27 Januari lepas, Rosmah menfailkan notis usul bagi membatalkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Dalam afidavit sokongannya, Rosmah mendakwa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun telah bertindak di luar bidang kuasanya apabila melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan untuk mengetuai siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.

Rosmah berkata, selepas meneliti surat pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai timbalan kanan pendakwa raya bertarikh 21 Mei 2021, mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah, beliau mendapati pelantikan itu tidak merujuk kepada kesnya.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Bangunan Getah Asli cawangan, Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan di LHDN di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button