Berita UtamaIstimewa

1,100 guru SJKC diperuntuk tahun ini: Mah Hang Soon

Pusingan ketiga pemilihan guru sedang dijalankan

KUALA LUMPUR, 17 Rejab 1443H, Sabtu – Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kementeriannya sedang menjalankan pemilihan pusingan ketiga bagi memastikan kekosongan jawatan guru sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) diisi.

Katanya, seramai 1,100 guru SJKC diperuntukkan untuk mengisi kekosongan di 1,010 buah bilik darjah.

“Peruntukan kuota 1,100 guru untuk SJKC adalah untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru,” katanya seperti dilapor akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily pada 14 Februari lalu.

Bilangan itu adalah daripada pengambilan 18,702 guru sebelum ini oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di sekolah pelbagai aliran selama ini.

Hang Soon berkata, pada pusingan pertama KPM telah menghantar 340 guru ke SJKC dan kira-kira 400 lagi akan dihantar pada pusingan kedua bulan Mac depan.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dijelaskan kepada wakil-wakil daripada pertubuhan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-guru Besar Kebangsaan Malaysia dan Majlis Bahasa Cina Malaysia dalam pertemuan dalam talian beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Hang Soon berkata, cabaran terbesar dalam pengambilan guru ialah kurangnya calon yang memohon untuk mata pelajaran tidak popular, seperti sejarah, seni, sukan dan kesihatan.

Beliau memberi contoh mata pelajaran berkait sukan di mana walaupun terdapat 90 kekosongan, hanya seorang pemohon yang telah memohon dan ditemu duga.

Selain itu, beliau juga memberi contoh mata pelajaran seni yang mempunyai 105 kekosongan tetapi hanya tiga orang sahaja yang menghadiri temu duga.

“Walaupun semakin ramai yang berminat menjadi guru, tetapi masih ada masalah kurang pemohon untuk mata pelajaran yang tidak popular.

“Walaupun kami komited untuk menyelesaikan masalah ini, tetap wujud masalah bilangan pemohon yang terlalu rendah,” katanya.

Oleh itu, beliau merayu semua pihak agar membantu dalam usaha mendapatkan bilangan pemohon yang ramai bagi mata pelajaran tidak popular untuk menangani masalah kekurangan guru.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button