Berita Utama

KPM tak patut layan SJKC memandangkan ia bukan badan awan

Lebih wajar guna dana sedia ada untuk pembangunan SK

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 17 Rejab 1443H, Sabtu – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak sepatutnya melayan tuntutan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) termasuk membayar gaji guru ganti mereka memandangkan ia bukan badan awam yang berada dalam ‘jagaan’ kerajaan.

Adalah lebih baik sekiranya dana berkenaan digunakan untuk perkara lain terutama menaik taraf infrastruktur sekolah yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan.

Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung Kebangsaan (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, KPM sewajarnya memberi fokus kepada sekolah kebangsaan (SK) sahaja buat masa ini.

“Dana yang diperuntukan untuk SJKC itu sepatutnya boleh dipindahkan untuk digunakan bagi menaik taraf SK menjadi lebih sempurna.

“Tindakan KPM adalah tidak wajar, sepatutnya kita utamakan keperluan dahulu, keadaan menyerupai kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan,” katanya kepada Ismaweb.net.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, guru ganti yang diambil melalui MyStep akan dibayar terus melalui KPM.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan Dong Jiao Zong berhubung masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh SJKC.

Syed Anuar dalam masa sama turut mempersoalkan pengurusan SJKC yang sewenang-wenang membuat pengambilan guru ganti tanpa kebenaran KPM.

Katanya, tindakan itu jelas membuktikan SJKC telah melanggar garis panduan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pendidikan Pelajaran (SPP).

“Ini bukan perkara yang mudah memandangkan kredibiliti guru yang dipilih untuk menjadi guru ganti bukan boleh dibuat sesuka hati,” katanya.

Katanya lagi, pemilihan guru yang tepat akan mempengaruhi masa depan anak bangsa, justeru ia tidak boleh diisi dengan sesuka hati

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button