Berita UtamaDunia

Kuwait benar wanita sertai tentera tapi tak boleh pegang senjata

Anggap wanita lemah, ketetapan cetus kemarahan wanita

KUWAIT CITY, 17 Rejab 1443H, Sabtu – Kaum wanita di negara ini dibenarkan menyertai tentera namun perlu melalui syarat ketat termasuk mendapatkan kebenaran daripada ahli keluarga lelaki.

Mereka juga dibenarkan bertempur di medan perang namun dilarang untuk memegang senjata.

Situasi berkenaan mencetuskan kemarahan yang menyifatkan peraturan itu sebagai tidak adil dan berat sebelah.

Kementerian Pertahanan dalam masa sama mensyaratkan, semua anggota tentera wanita perlu menutup aurat dan diwajibkan bertudung.

Ketua Kebudayaan Wanita dan Komuniti Sosial Kuwait, Lulwa Saleh al-Mulla menyifatkan, arahan itu sebagai satu bentuk diskriminasi dan tidak berperlembagaan.

Beliau secara tegas berkata, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang mewakili organisasi yang diwakilinya berikutan syarat yang tidak membenarkan golongan wanita memegang senjata.

“Kita mempunyai golongan wanita yang setia mempertahankan negara atas kerelaan mereka sendiri dan tiada sesiapa memaksa mereka kerana itu adalah bukti sayang terhadap negara.

“Kita adalah negara Islam, namun undang-undang tidak semestinya terikat dengan fatwa. Hak kebebasan sudah termaktub dalam Perlembagaan yang berdasarkan undang-undang negara,” tegasnya.

Sementara itu, seorang guru, Ghadeer al-Khashti melahirkan rasa pelik dengan syarat yang dikenakan kepada wanita untuk menyertai tentera.

“Semasa pencerobohan di Iraq, ibu saya menyembunyikan senjata di dalam abaya yang dipakainya sebagai langkah perlindungan dan bapa saya sangat memberi galakan.

“Sekarang saya tidak faham atas dasar apa mereka melihat golongan wanita sebagai lemah,” jelasnya.

Oktober tahun lalu, kementerian membenarkan golongan wanita bertempur, namun peraturan ketat dikenakan selepas dipersoal oleh penggubal undang-undang konservatif, Hamdan al-Azmi.

Hamdan mempertikaikan peranan wanita bertempur dan menyifatkan tindakan tersebut tidak sesuai dengan fitrah mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button