Berita Utama

NGO Islam gesa Ramasamy tak masuk campur isu anak-anak mualaf Loh

Bimbang cetus ketegangan agama di negara ini

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Rejab 1443H, Sabtu – Politikus tidak sepatutnya mengambil kesempatan dengan menjadikan isu berhubung kes anak-anak Loh Siew Hong sebagai kuda tunggangan. 

Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, tidak wajar bagi mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan berbentuk provokatif yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Lebih membimbangkan, katanya, kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berhubung isu berkenaan boleh mencetuskan ketegangan agama di negara ini.

Senada dengan pandangan itu, Ketua Penerangan PERKASA Kedah, Azrol Mansor yang menegaskan, Ramasamy tidak sepatutnya mencampuri urusan agama lain apatah lagi kanak-kanak itu telah memeluk Islam secara sukarela. 

“Malah, pendaftaran oleh Jabatan Agama Islam Perlis dibuat hanya setelah mendapat persetujuan bapa kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Penerangan PERKASA Kedah, Azrol Mansor

Azrol turut menyokong kenyataan Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahya dan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis berhubung kontroversi dalam isu pengislaman tiga anak-anak Siew Hong dan Nagahswaran Muniandy.

“PERKASA Kedah menyeru kepada seluruh umat Islam, NGO-NGO Melayu dan parti-parti politik Melayu agar menyatakan sokongan penuh kepada usaha PEMBELA demi menyelamatkan akidah tiga orang anak mualaf itu.

“PERKASA Kedah juga mendesak agar hukuman yang berat dapat diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekecohan serta suasana tidak harmoni di antara kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Pautan berkaitan:

Ramasamy cenderung pertikai pengislaman anak Loh, bukan hak penjagaan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button