Berita Utama

TEKUN Nasional lapor polis sistem SPIM digodam

Akibatkan kelewatan proses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan

JOHOR BAHRU, 17 Rejab 1443H, Sabtu – TEKUN Nasional membuat laporan polis pada Rabu lepas susulan sistem permohonan dalam talian bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dipercayai digodam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata pada awalnya, TEKUN Nasional menjelaskan isu kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan SPIM adalah disebabkan gangguan teknikal, namun setelah siasatan dalaman dilakukan, ia dikenal pasti berpunca daripada digodam.

“Saya dapat aduan orang ramai yang mengatakan bayaran lambat, sebenarnya perkara tersebut (berlaku) ialah kerana sistem ini telah dikesan digodam pada 8 Feb menyebabkan sistem ini terganggu.

“Jadi kerana itu, TEKUN telah membuat laporan polis. Walaupun sistem ini telah digodam, TEKUN masih terus membuat bayaran secara manual antaranya menerusi cek,” katanya pada sidang media selepas program SPIM Bantu Usahawan Pulih Perniagaan Semasa Pandemik COVID-19 di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kes berkenaan tidak melibatkan sebarang kerugian wang dan ia masih dalam siasatan polis.

Noh berkata pihaknya menerusi TEKUN Nasional melancarkan SPIM bagi membantu usahawan yang terjejas akibat COVID-19 dan banjir, dan permohonan dibuka bermula 1 hingga 15 Januari lepas dengan dana berjumlah RM200 juta.

Beliau berkata sebanyak 23,767 permohonan telah diterima dan setakat 15 Februari lepas, 15,902 permohonan telah diluluskan melibatkan RM130.5 juta.

“Sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM110.1 juta kepada 13,370 usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan termasuk juga pindahan dana elektronik,” katanya.

Beliau berkata penyaluran pembiayaan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada pertengahan Mac ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button