Berita Utama

Kanak-kanak dijangkiti COVID-19 perlu divaksin

Berisiko alami MIS-C apabila jadi keradangan organ dalaman

KUALA LUMPUR, 18 Rejab 1443H, Ahad – Kanak-kanak bawah 18 tahun yang dijangkiti COVID-19 boleh mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19 dengan mereka yang berusia bawah setahun melibatkan 24 kes, 1 hingga bawah 5 tahun (38 kes), 5 hingga bawah 9 tahun (64 kes), 9 hingga bawah 12 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

“Sehingga kini, tujuh kes (4 peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan COVID-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-COVID (sindrom COVID-19 selepas fasa akut jangkitan),” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19, hari ini. 

Beliau berkata, kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan COVID-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti. 

Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19, beliau berkata, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.

Dr Noor Hisham berkata, vaksin COVID-19 Comirnaty® (Pfizer-BioNTech) telah diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia dan daripada kajian klinikal, keberkesanannya adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19.

Katanya, ini dapat mengurangkan risiko penyakit COVID-19 yang serius.

“Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun ini adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid. Kanak-kanak golongan umur 5 hingga 11 tahun perlu diberi dua dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun semakin meningkat berikutan kenaikan kes jangkitan virus itu di dalam negara dengan peningkatan dilihat lebih ketara pada Februari 2022 terutama bagi kategori dua hingga lima.

Katanya, bermula awal Januari hingga pertengahan Februari 2022, bilangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti COVID-19 adalah seramai 50,826 orang.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, 15,817 merupakan kategori satu, 34,857 kategori dua, 120 kes (kategori tiga), 28 kes (kategori empat) dan empat kes (kategori lima).

Katanya, pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak remaja berusia 11 hingga 17 tahun juga meningkat.

Beliau berkata, ini mungkin disebabkan oleh penularan varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan semalam negara merekodkan 28,825 kes baharu iaitu tertinggi setakat ini, manakala 18,514 kes sembuh dilaporkan.

Daripada 28,825 kes itu, hanya 95 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya terdiri daripada kategori satu serta dua.

“Daripada 95 kes COVID-19 kategori tiga, empat dan lima yang baru dilaporkan semalam, 28 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 49 kes telah menerima dua dos vaksin, 18 kes telah menerima dos penggalak, 41 kes berumur 60 tahun ke atas dan 48 kes mempunyai komorbid, manakala tiada kes ibu mengandung,” katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button