Dunia

UNHCR gesa sokongan berterusan terhadap pelarian Rohingya

Keperluan mendesak, komprehensif berkait bantuan kemanusian

DHAKA, 18 Rejab 1443H, Ahad – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menggesa sokongan berterusan antarabangsa terhadap pelarian Rohingya dan negara tuan rumah Bangladesh, lapor Agensi Anadolu.

Pada Ogos 2017, hampir 750,000 Muslim Rohingya melarikan diri daripada kekejaman pihak tentera di Rakhine, Myanmar menjadikan jumlah keseluruhan pelarian di Cox’s Bazar mencecah 1.2 juta orang, memetik kenyataan UNHCR.

Sebelum ini, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Kelly T. Clements dan Pengarah UNHCR untuk Asia dan Pasifik, Indrika Ratwatte melawat Bangladesh pada 13 hingga 18 Februari, termasuk ke kem pelarian di Cox’s Bazar dan Pulau Bhasan Char.

Hasil lawatan itu mendapati terdapatnya keperluan mendesak dan lebih komprehensif berkaitan bantuan kemanusiaan. 

“Ia termasuk penyelesaian alternatif seperti penempatan semula ke negara ketiga untuk golongan paling terjejas dengan perlindungan khusus, serta peluang pekerjaan dan pendidikan,” menurut kenyataan itu.

Clements turut mengulangi komitmen UNHCR bagi kepulangan secara sukarela dan penyelesaian lain.

“Meskipun pelarian dengan jelas menyatakan keinginan untuk pulang ke negara asal, mereka juga khuatir nyawa mereka terancam jika berbuat demikian.

“Oleh itu, kami perlu berusaha mencari penyelesaian lain sambil menggandakan usaha menyediakan akses kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan bagi mereka dan tuan rumah,” kata Clements.-  Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button