Berita Utama

Bimbang akidah 3 remaja ‘hanyut’, parti politik dan NGO perlu bersuara: Wanita BERJASA

Jadi tanggungjawab umat Islam untuk pelihara akidah mereka

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Rejab 1443H, Isnin – Wanita BERJASA menyatakan rasa bimbang terhadap keputusan mahkamah berhubung isu tiga remaja yang diislamkan tanpa kebenaran.

Ketuanya, Ustazah Siti Umi Kalsum Hussin berkata, BERJASA bimbang dengan akidah remaja terbabit susulan keputusan mahkamah untuk mengembalikan hak penjagaan kepada ibu mereka secara serta-merta.

Oleh yang demikian, beliau menggesa, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk saling bekerjasama bagi menyuarakan kebimbangan ini.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjaga akidah tiga remaja terbabit supaya tidak hanyut meninggalkan agama dianuti ketika ini.

“Kini kita bimbang apabila berada dalam jagaan ibu kandung yang bukan beragama Islam, akidah mereka hanyut dan akhirnya mereka tidak menjalani kehidupan sebagai muslimah yang sejati.

“Perkara ini tidak boleh dipandang mudah sebaliknya inilah peluang kita bersatu untuk mempertahankan hak sebagai orang Islam sejati.

“Dan inilah masa sebenar kita bersatu dan mengangkat suara kita selaras dengan pentadbiran negara Islam.

“Tidak nafi itu adalah ibu kandungnya, tetapi sekarang kita perlu beri tumpuan untuk selamatkan akidah remaja berkenaan kerana bimbang mereka akan terpesong jauh daripada ajaran Islam yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan tiga remaja yang telah diislamkan tanpa kebenaran dikembalikan kepada ibu kandung, Loh Siew Hong serta-merta.

Dalam pada itu, Ustazah Umi Kalsum kecewa apabila perjuangan untuk menyelamatkan agama remaja terbabit dipandang serong sesetengah pihak.

“Kita pelik ada sebahagian parti dan NGO Islam yang melihat isu dari sudut berbeza, seolah-olah tidak menjadi kesalahan apabila remaja tersebut diserah kepada jagaan bukan Islam.

“Sedangkan tindakan itu dilihat sebagai menghancurkan masa depan remaja berkenaan kerana tidak menyelamatkan mereka dan tidak mustahil remaja berkenaan kembali ke agama asal ibu kandungnya sekiranya tidak dipantau,” katanya.

Justeru, beliau melihat pihak berwajib terutama Jabatan Kebajikan (JKM) dan jabatan agama Islam perlu memainkan peranan dengan memantau serta memberikan pendidikan sepatutnya kepada tiga remaja tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button