Hanya 8 peratus kanak-kanak Kelantan daftar PICKids
Kaum Cina catat kadar vaksinasi tertinggi dengan 46.4 peratus

BANGI, 19 Rejab 1443H, Isnin – Kelantan menjadi negeri yang merekodkan kadar penerimaan vaksinasi terendah bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun iaitu sebanyak lapan peratus atau 21,900 orang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, turut mencatatkan peratusan terendah selain Kelantan dalam pemberian imuniti COVID-19 adalah Sabah dengan sembilan peratus atau 39,000 kanak-kanak.
“Sehingga semalam sebanyak 1,022,966 kanak-kanak sudah didaftarkan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sejak diperkenalkan 3 Februari lalu.
“Perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 28 peratus populasi kanak-kanak di negara ini sudah mendaftar untuk mendapatkan pelalian COVID-19.
“Kita berharap supaya ibu bapa tidak mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam isu pemberian vaksin kepada anak mereka,” katanya, hari ini.
Beliau dalam masa sama, menjelaskan kadar kemasukan kanak-kanak di dalam hospital mula meningkat.
Justeru, beliau menggesa ibu bapa segera mendaftarkan anak-anak mereka bagi mendapatkan suntikan.
Khairy dalam masa sama memaklumkan, mengikut pecahan etnik, di seluruh negeri kaum Cina secara konsisten mencatatkan kadar vaksinasi tertinggi dengan 46.4 peratus kanak-kanak sudah menerima vaksinasi di peringkat nasional.
Peratusan terendah pula dicatatkan oleh kaum ‘lain-lain’ di Sabah iaitu hanya 4.1 peratus diikuti Melayu di Kelantan dengan kadar 4.3 peratus.
Bagi pengambilan vaksin di sekolah, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mencatatkan sebanyak 41.4 peratus di peringkat kebangsaan.
Manakala bagi sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) pula merekodkan pengambilan terendah dengan 7.1 peratus pelajarnya dan diikuti sekolah rendah agama (SRA) dengan 18.1 peratus serta sekolah kebangsaan (SK) iaitu 9.1 peratus