Berita Utama

Hasrat Loh cabar penukaran agama 3 anak babit isu akidah

‘Jika kita gagal kali ini, tidak mustahil lebih ramai akan berjaya dimurtadkan’

BANGI, 19 Rejab 1443H, Isnin – Sudah terang lagi bersuluh, isu anak-anak Loh Siew Hong membabitkan akidah, maka tidak ada alasan lagi untuk pemimpin atau tokoh beragama Islam terkhilaf sesama sendiri dalam kes ini.

Ini kerana, memelihara akidah anak-anak tersebut adalah tujuan paling utama ketika ini.

Demikian kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya selepas Loh dilaporkan akan mencabar penukaran agama secara sebelah pihak tiga anaknya melalui semakan kehakiman.

Memetik laporan portal tempatan semalam, peguam kepada ibu tunggal itu, Shamser Singh Thind berkata, walaupun terdapat gesaan untuk agama kanak-kanak itu dikekalkan, hakikatnya mereka memeluk Islam tanpa persetujuan ibu mereka, yang mempunyai hak penjagaan penuh.

Dakwanya, masalah lain akan timbul jika penukaran agama mereka tidak dibatalkan, khasnya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), apabila mereka dewasa dan jika memutuskan mahu berkahwin dengan orang bukan Islam.

Berikutan itu, Aminuddin berpandangan, tindakan ibu tunggal tersebut sekali gus membongkarkan segala muslihat dan sandiwara yang dilihat di media selama ini.

“Kita dihidangkan selama hampir seminggu ini, dengan naratif menyayat hati, kononnya ibu dihalang oleh jabatan agama untuk berjumpa anak-anaknya dan sebagainya walaupun terbukti semua itu tidak benar.

“Mungkin kerana terlalu ramai pihak yang terlibat dalam memelihara anak-anaknya itu telah tampil bersuara menjawab satu persatu fitnah dan naratif palsu yang dimainkan yang akhirnya ‘strategi’ sebenar pun terlondeh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada mulanya, Aminuddin berkata, beliau menyangka hanya DAP, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan konco-konconya sahaja yang memainkan naratif mempersoalkan keislaman anak-anak berkenaan.

Namun, beliau tidak menyangka ibunya turut sama mempertikaikan pengislaman anak-anak tersebut, katanya.

“Apakah memang ada suatu ‘grand scheme’ di belakang tabir sesama mereka ini?

“Memandangkan perihal keislaman itu sendiri akan dicabar di mahkamah (semakan kehakiman), nampaknya pasukan peguam kita sudah boleh ‘stand by’.

“Saya akan berhubung dengan rakan-rakan peguam yang lain untuk langkah-langkah strategik seterusnya. Jika kita gagal kali ini (semakan kehakiman), tidak mustahil ada lebih ramai yang berjaya dimurtadkan juga,” katanya.

Terdahulu, Loh dilaporkan berkata, tiga anaknya akan dibawa ke Kuala Lumpur pada Isnin untuk pendengaran permohonan habeas corpusnya bagi mendapatkan mereka kembali.

Pautan terdahulu;

Ramasamy cenderung pertikai pengislaman anak Loh, bukan hak penjagaan

Isu anak mualaf: Tatkala DAP ‘riuh’, mana suara pemimpin seakidah?

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button