Berita Utama

Kenapa MUDA begitu marah dikata tunggangan DAP?

Awal-awal lagi MUDA ‘berahi’ kawasan bukan Melayu terutama majoriti Cina?

KENAPA MUDA begitu marah bila dikata tunggangan DAP?

Kenapa MUDA ‘takut’ bertanding di kawasan majoriti Melayu?

Kenapa MUDA ‘memilih’ kawasan selamat majoriti bukan Melayu (Cina) atau bandar?

Di sini jawapannya, kerana MUDA takut hilang wang deposit jika bertanding di kawasan majoriti Melayu. 

Saya amat yakin jika parti MUDA bertanding di kawasan majoriti Melayu, parti nyamuk ini pasti akan hilang wang deposit. Hatta, jika presidennya bertanding sekalipun.

Sebab itu, dalam pembahagian kerusi dalam kalangan pembangkang PH, berkecamuk. Masing-masing mahu kawasan selamat.

MUDA cukup ‘takut’ jika diberikan kawasan majoriti Melayu, terutama luar bandar. Sama seperti Parti Amanah Negara (PAN), mereka mahukan kawasan bandar, atau separa bandar.

Dalam kata lain, kawasan majoriti bukan Melayu (Cina). Mereka tahu undi kemenangan datang daripada majoriti Cina bukan Melayu.

Saya masih percaya kepada teori sosialisasi politik dan budaya politik yang dipelajari dahulu. Antara agen utama sosialiasi politik adalah sejarah, keluarga (ibu bapa), pendidikan (sekolah), media (perkauman), parti politik (perkauman) , NGO (perkauman) dan sebagainya.

Memang sudah menjadi budaya politik Malaysia, semua perkara ini akan diperturunkan kepada anak-anak mereka, dari generasi ke generasi. 

Agen sosialisasi politik keluarga yang berkaitan pendidikan, sudah tentu akan memastikan anak-anak mengundi mengikut pilihan politik mereka. Paling menyerlah dalam kalangan orang Melayu

Anak orang UMNO akan mengundi UMNO (BN), PAS-PAS, PKR-PKR,  PAN-PAN, DAP-DAP, begitulah seterusnya. 

Jika adapun yang berbeza, tidaklah signifikan sangat. 

Antara sarjana barat yang banyak mengkaji teori sosialisasi politik dan budaya politik adalah Hyman (1959), Almond dan Verba (1963), Pye (1965), Rush dan Althoff (1972, 1983), Kavanagh (1987), (Dennis 1973), Dawson dan Prewitt (1969), Langton (1969), Dowse dan Hughes (1972), Douglas 1967), Kamrava 1993). 

Tidak ketinggalan, sejarah teori sosialisasi politik telah disentuh secara tidak langsung oleh sarjana klasik politik seperti Plato, Aristotle dan Rousseau

Menurut mereka, proses pembelajaran seseorang mengenai orientasi politik dan kerajaan, bermula dari zaman kanak-kanak, sehinggalah menjadi dewasa dan memasuki zaman tua.  Ia juga adalah satu bentuk komunikasi yang dipelajari dari orang lain secara berperingkat-peringkat sepanjang hayat sehingga melahirkan perlakuan sosial.

Menurut Hyman (1959), sosialisasi politik yang dilalui oleh seseorang berkaitan rapat dengan pandangan hidup yang akan dibentuk.  Pandangan hidup yang dibentuk akan menjadi suatu kepercayaan diri.

Kepercayaan terhadap sesuatu sistem politik sesebuah negara akan membentuk satu budaya atau amalan hidup seseorang atau dikenali sebagai budaya politik.  Ini kerana, budaya politik ditentukan atau dibentuk oleh sosialisasi politik sebagaimana yang persetujui oleh ramai sarjana.

Kenapa MUDA memilih kawasan majoriti bukan Melayu? Jawapan mudah, baca buku-buku tersebut.

Agen sosialisasi politik amat berpengaruh dalam kalangan orang Cina. Sejak kecil lagi mereka telah diasuh ‘membenci kerajaan’. 

Ditambah dengan agen pendidikan (SJKC, Sekolah Persendirian, Institusi pengajian tinggai swasta), media Cina, dan NGO Cina sudah tentu banyak mempengaruhi mereka cara pemikiran mereka. 

Jika dilihat dari perspektif sejarah, ianya bermula dengan sejarah kedatangan dan migrasi mereka ke Tanah Melayu bermula abad ke-15. 

Hubungan terjalin melalui kegiatan perdagangan yang aktif di Melaka (Chin Yee Whah, 2005: 53). Tekanan politik di negara asal menjadikan Tanah Melayu terus menjadi tumpuan.  

Ditambah pula dengan dasar-dasar British yang amat memerlukan mereka berada di Tanah Melayu. Secara umum, terdapat empat tahap penting dikatakan banyak mempengaruhi persepsi orang Cina terhadap politik Melayu ketika berada di bawah penjajahan British. 

Tahap pertama (1874-1914), tahap kedua (1914-1918), tahap ketiga (1919-1941) dan tahap keempat (1946-1957).

Melalui dasar-dasar British pada tahap-tahap tersebut, orang yang berhijrah terutamanya orang Cina lebih mendapat manfaat ekonomi berbanding kaum lain.

Berbekalkan semangat waja berada di rantau orang, orang Cina tanpa mengenal putus asa berjuang membela nasib dan survival mereka agar tidak ketinggalan.  

Inilah budaya politik yang telah dihasilkan melalui sosialisasi politik, pantang menyerah kalah, sentiasa mahu berjaya, atau lebih dikenali dengan istilah kiasu. Sikap kiasu ini telah menjadi sebati dalam budaya kehidupan orang Cina. Berbekalkan semangat kiasu, orang Cina tidak pernah menyerah dalam memperjuangkan hak-hak mereka. 

Sehingga ke satu tahap, mereka begitu berani mengkritik hak-hak istimewa dan isu-isu sensitif berkaitan Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan dasar-dasar yang menyebelahi Melayu. 

Semua dasar ini dikatakan tidak memberikan keadilan kepada masyarakat Cina yang bersama-sama membangunkan negara ini. Inilah pemikiran yang sudah sedia terbentuk dalam kalangan anak-anak Cina bergenerasi. Semua dasar tidak adil. Ditambah pula dengan korupsi dalam kerajaan yang ketara. 

Sebab itu, majoriti Cina akan memilih DAP, daripada MCA mahukan Gerakan, jika berlaku pertandingan sesama mereka, sebangsa. 

Sejak kecil, agenda keluarga dan pendidikan Cina sudah menerapkan bahawa UMNO (BN) itu korup. PAS itu ekstremis. 

Tidak hairan, jika anak-anak orang MCA dan Gerakan mengundi DAP. 

Sebab itu, apabila presiden PAS melabelkan MUDA anak tunggang DAP. Itu bukan sesuatu yang mustahil, malah pada saya ia berkait rapat, terutama jika dikaitkan dengan teori sosialisasi politik.

Memang MUDA amat mengharapkan undi DAP atau undi Cina untuk menang. 

Pemimpin MUDA nampak begitu marah apabila Presiden PAS berkata ia tunggangan DAP. 

Biasanya, bila marah itu tandanya betul.

Buktinya, awal-awal lagi MUDA (termasuk PAN) amat memberahikan kawasan bukan Melayu terutama majoriti Cina? Jawapannya mudah, untuk menang selesa  berasaskan kepada sosialisasi politik dan budaya politik.

Sebab itulah MUDA agak ‘kecut’ jika diberikan kawasan majoriti Melayu, terutama kawasan luar bandar. 

Bukan hanya MUDA tidak boleh menang, dibimbangi akan hilang wang deposit

Ingatan saya kepada MUDA, jangan terlalu ghairah. Minta sana minta sini, seolah-olah diri kamu kuat.

Sebenarnya kamu masih lagi terlalu muda, masih tertatih, ibarat parti nyamuk yang banyak bergantung dan ihsan daripada orang Cina atau DAP. 

Justeru, jangan terlalu emosi apabila Presiden PAS kata, kamu adalah anak butir DAP, kerana dari satu segi jawapannya memang YA.

Kepada pemimpin pengasas parti MUDA, ingat satu perkara, kamu yang muda-muda ini pasti akan menjadi tua tidak lama lagi. Selepas itu parti MUDA tidak memerlukan kamu lagi. Ke mana lagi kamu mahu pergi jika tidak menubuhkan parti TUA atau mencari parti yang lebih tua.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button