Berita Utama

Khairuddin sah letak jawatan Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS

Beri jaminan terus jalan tugas sebagai Ahli Parlimen dan ahli PAS

BANGI, 19 Rejab 1443H, Isnin – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS mengikut peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).

Beliau terdahulu dijemput menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang diadakan secara hibrid atas kapasiti sebagai ahli dan setiausaha.

“Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai setiausaha berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).

“Saya juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai Ahli MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(5),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairuddin dalam masa sama, merakamkan penghargaan kepada PAS yang memberi peluang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama sejak 2013 seterusnya dilantik sebagai setiausaha sejak 15 Disember 2020.

“Rakaman jutaan terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan semua ahli yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan PAS untuk mengelakkan sebarang krisis Perlembagaan parti,” jelasnya.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu memberi jaminan akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen PAS dan tugasan lain dalam parti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button