Dunia

Presiden Indonesia suara bimbang situasi di Ukraine

Tegaskan pihak bertelagah perlu elak sebarang ketegangan

JAKARTA, 19 Rejab 1443H, Isnin – Presiden Indonesia Joko Widodo melahirkan kebimbangan terhadap situasi di timur Ukraine dan menggesa semua pihak meredakan ketegangan yang kian meruncing.

Joko Widodo, juga dikenali Jokowi, menegaskan semua pihak bertelagah harus mengelakkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan lagi ketegangan dan berusaha ke arah perdamaian.

“Perang tidak seharusnya berlaku.

“Sudah tiba masanya dunia bersatu dan bekerjasama menghadapi wabak COVID-19.

“Kini saat pemulihan ekonomi dunia, membendung kekurangan makanan, dan mencegah kelaparan,” kata presiden itu di akaun Twitternya pada Isnin.

Jokowi sebelum ini mengutarakan perkara sama empat hari lepas. Indonesia dilantik presiden G20 bagi 2022.

Pada 17 Februari, Jokowi menggesa negara anggota G20 menamatkan ketegangan seperti yang berlaku di Ukraine, hingga mengganggu pemulihan ekonomi global yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Bercakap pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat, beliau menyeru G20 menumpukan usaha sama dan bekerjasama untuk menyelamatkan dunia, sekali gus membantu dunia bangkit dan kembali pulih secepat mungkin.

Sejak beberapa bulan lalu, negara barat menuduh Rusia mengumpulkan lebih 100,000 tentera berhampiran Ukraine, mencetuskan kebimbangan bahawa ia mungkin merancang serangan ketenteraan terhadap bekas jirannya Soviet.

Moscow berulang kali menafikan sebarang rancangan menyerang Ukraine dan menuduh negara-negara Barat menjejaskan keselamatan Rusia melalui peluasan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sempadan negaranya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button