Berita UtamaDunia

UNICEF bayar gaji 194,000 guru di Afghanistan

Gaji AS$100 sebulan dibiayai oleh Kesatuan Eropah

KABUL, 19 Rejab 1443H, Isnin – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berhasrat untuk membayar sekurang-kurangnya dua bulan gaji kepada guru di Afghanistan, selepas golongan itu tidak dibayar sejak berbulan-bulan susulan krisis ekonomi.

Bayaran gaji sebanyak AS$100 (RM418) sebulan itu akan dibayar kepada kira-kira 194,000 guru di sekolah rendah dan menengah bagi Januari serta Februari.

Kesemua bayaran tersebut akan dibiayai Kesatuan Eropah (EU) menggunakan mata wang tempatan.

“Berikutan ketidaktentuan dan kesukaran yang dihadapi ramai guru selama beberapa bulan, kami berbesar hati untuk memberi sokongan kecemasan kepada guru sekolah awam di Afghanistan yang tidak berputus asa untuk memastikan kanak-kanak belajar,” kata wakil UNICEF Afghanistan, Mohamed Ayoya.

Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran negara, krisis ekonomi dan kemanusiaan di negara ini semakin memuncak.

Malah, beberapa sekatan ke atas sektor ekonomi terutama perbankan selain berlaku pengurangan dalam pembiayaan pembangunan menyebabkan pentadbiran baharu negara itu bergelut termasuk untuk membayar gaji kakitangan sektor awam.

Sehingga kini masyarakat antarabangsa bekerjasama membantu meringankan beban yang dialami penduduk termasuk menyalurkan bantuan perubatan dan makanan.

Malah sehingga kini pentadbiran Taliban belum diiktiraf secara rasmi dan menjadikan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan sebagai tuntutan utama apabila berbincang dengan kumpulan itu.

Selain itu, rancangan Taliban bagi pendidikan kanak-kanak perempuan juga tidak jelas, dengan masih ramai tidak dapat hadir ke sekolah menengah di sebahagian besar wilayah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button