Berita UtamaDunia

Ratusan penduduk Palestin berhimpun protes perobohan rumah Israel

Tuntut tamatkan polisi bertujuan usir penduduk di Baitulmaqdis

RAMALLAH, 20 Rejab 1443H, Selasa – Ratusan penduduk Palestin berhimpun sebagai tanda protes di hadapan pejabat perbandaran negara haram Israel di Baitulmaqdis bagi menentang tindakan tentera yang meroboh kediaman penduduk tempatan.

Protes berkenaan dianjurkan oleh penduduk di Jabal Al-Mukaber apabila ratusan kediaman Palestin berdepan ancaman untuk dirobohkan berikutan kebanyakan pemiliknya tidak mendapat permit untuk membina kediaman berkenaan.

Seorang penunjuk perasan memberitahu media Palestin, kesemua mereka kini menuntut supaya rejim Zionis menamatkan dasar yang dipercayai bertujuan untuk mengusir penduduk Palestin di bandar berkenaan.

“Ini adalah dasar perkauman, semua orang di sini menyedari undang-undang ‘Kemints’ dibuat bagi merobohkan kediaman dan menghalau penduduk di Baitulmaqdis.

Undang-undang ‘Kemints’ diluluskan sebagai pindaan kepada undang-undang perancangan dan bangunan Israel oleh Knesset pada 2017.

Menerusi undang-undang berkenaan, ia mengehadkan peranan hakim untuk menangguhkan pelaksanaan perintah perobohan, sambil menambahkan bayaran yang dikenakan ke atas rakyat Palestin yang tidak mengendahkan arahan untuk merobohkan hartanah mereka sendiri.

Malah, undang-undang berkenaan turut membenarkan pihak berkuasa Israel menaikkan kadar bayaran sewa tanah kepada pemiliknya.

Pada 2019, peguam Palestin, Qais Nasser berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama pelaksanaan undang-undang ‘Kemenits’, pentadbiran Israel telah mengenakan bayaran tambahan untuk merobohkan kediaman Palestin melebihi 15 juta shekel (AS$4.6juta).

Sementara itu, pakar undang-undang di Baitulmaqdis, Munir Nusibeh pula berkata, undang-undang diperkenalkan tersebut merupakan ‘alat’ bagi mengurangkan jumlah penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Katanya sebelum undang-undang tersebut diperkenalkan, perancangan bandar di Baitulmaqdis berdepan diskriminasi.

“Hanya 13 peratus daripada penduduk di sini dibenarkan untuk membina bangunan dan kediaman dan jumlah berkenaan tidak berubah sejak 1967.

“Bandar kecil tersebut terlalu padat dengan bangunan, manakala 33 peratus pula dikhususkan kepada penempatan negara haram Israel.

“Keadaan tersebut menyebabkan 50 hingga 66 peratus bangunan milik rakyat Palestin di bandar Baitulmaqdis dibina tanpa permit dan pemiliknya berdepan ancaman perobohan walaupun sekian lama membayar bayaran bulanan kepada pentadbiran kerajaan haram Israel,” kata Munir lagi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button